AKPS gagalkan cubaan 141 pelawat asing guna taktik transit masuk Malaysia

Oleh: Sholina Osman
16 JULAI 2025

Cubaan 141 pelawat asing untuk memasuki Malaysia secara haram dengan menyalahgunakan kemudahan transit berjaya dipatahkan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (AKPS KLIA) di Terminal 2, di sini, dalam satu operasi pemantauan khas.

Unit Komunikasi Korporat AKPS dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa siasatan mendapati kesemua individu terbabit menggunakan taktik menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga.

Operasi dari 12 hingga 14 Julai itu mengenakan Notis Penolakan Masuk (NPM) terhadap 94 warganegara India, 41 warganegara Indonesia, tiga dari Sri Lanka dan tiga dari Pakistan.

MENGGUNAKAN PELBAGAI TAKTIK

Siasatan mendapati mereka menggunakan pelbagai taktik licik untuk mengelirukan pihak berkuasa.

Modus operandi utama mereka adalah dengan menempah tiket penerbangan sambungan ke negara ketiga untuk memberi gambaran mereka adalah penumpang transit tulen.

Namun, mereka tidak berniat untuk meneruskan perjalanan tersebut.

Sebahagian daripada mereka juga cuba keluar dari balai pelepasan transit dengan memberi pelbagai alasan seperti masalah kesihatan, kehilangan tiket, atau isu bagasi.

MEMOHON PAS KHAS

Ada juga yang dikesan memohon Pas Khas (Special Pass) tetapi kemudiannya menyalahgunakannya untuk tinggal lebih masa di dalam negara.

Kejayaan operasi ini adalah hasil pemeriksaan rapi oleh pegawai penguat kuasa yang meneliti dokumen perjalanan, menyemak sejarah perjalanan lampau, dan menjalankan temu bual mendalam terhadap pelawat yang menunjukkan tingkah laku mencurigakan dan tidak konsisten.

UNTUK DIHANTAR PULANG

Kesemua yang dikenal pasti kini dalam proses untuk dihantar pulang menggunakan penerbangan terawal yang tersedia.

Susulan insiden ini, AKPS telah memperketatkan kawalan di semua zon transit antarabangsa dan mengoptimumkan penggunaan sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi membanteras sebarang cubaan bolos pada masa hadapan.

AKPS menegaskan bahawa Malaysia sentiasa mengalu-alukan kedatangan pelawat antarabangsa yang sah, namun tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan mengeksploitasi sistem kawalan sempadan negara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *