Sultan Ibrahim kurnia biasiswa Yang Di-Pertuan Agong kepada 13 penerima

Wartawan JM
Petikan FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
16 JULAI 2025

Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis penganugerahan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2025 di Istana Negara, hari ini (16 Julai).

Turut hadir, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Dato’ Jamalulail Abu Bakar, Pengarah Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Seri Paduka Baginda berkenan mengurniakan biasiswa bagi pengajian di bidang Doktor Falsafah (PhD) kepada 10 penerima dan tiga penerima lagi di peringkat Sarjana (Penyelidikan).

Penerima BYDPA di peringkat PhD ialah Mohamad Fariz Haiqal Mohd Ruslan (Kings College London – Farmakologi dan Farmasi); Karen Low Ka Ling (Universiti Kebangsaan Malaysia UKM – Farmakologi dan Farmasi); Muhammad Hamizan
Zawawi (Universiti Sains Malaysia USM – Biologi); Muhamad Aiman Hakim Nor Khalid (UKM – Matematik dan Statistik.

PENERIMA PERINGKAT PhD

Selain itu, penerima peringkat PhD ialah Sarah Dania Mohd Kahar (Universiti Malaya UM – Undang-undang Komersial); Teoh Shu Jou (UM – Data Management); Ahmad Firdaus Ahmad Sukri (USM – Bioteknologi); Nurul Angelyn Zulhairy Liong (UM – Genetic dan Heredity); Nur Zakirah Jasni (University of Melbourne – Sains Veterinar) dan Nurfatima Azzahra Fadli (UKM – Biokimia).

Penerima BYDPA di peringkat sarjana pula ialah Fatini Nadiah Mohammad Zamzami (UKM – Biokimia); Tiew Siew Jin (UPM – Bioteknologi) dan Yugashini P Muhilan (UKM – Biomedical materials).

BYDPA adalah biasiswa paling berprestij di bawah JPA yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 bagi menaja warganegara Malaysia yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik malah aktiviti ko-kurikulum serta terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau dalam penghasilan kerja-kerja berkandungan elemen kreatif dan inovatif.

Sehingga tahun 2025 sebanyak 20 sesi penawaran telah dilaksanakan dengan seramai 225 warganegara Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 117 orang di peringkat PhD dan 108 orang di peringkat Sarjana untuk pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); Ekonomi; Undang-Undang; Kewangan Islam dan Kecerdasan Buatan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *