Timbalan Menteri Kerja Raya tinjau kemajuan pembinaan kediaman moden tentera di Tawau, Sabah

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan FB Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR)
17 JULAI 2025

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini (17 Julai) turun padang meninjau kemajuan Projek Pembinaan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Tambahan Pelbagai Kelas di Kem Kabota, Tawau, Sabah yang kini sedang giat dilaksanakan.

Kenyataan media KKR memaklumkan sekaligus ini membuktikan Kerajaan Pusat terus komited meningkatkan ekosistem pertahanan negara.

Projek ini adalah antara inisiatif Kerajaan untuk memperkukuhkan
kebajikan warga pertahanan dan keluarga mereka menerusi penyediaan perumahan yang moden, selesa dan selamat.

BERNILAI RM97 JUTA

Projek bernilai RM97 juta ini telah dimulakan pada 2 Mei 2023 dan dijangka siap pada 31 Oktober 2026.

Setakat hari ini, kemajuan fizikal projek telah mencapai 14 peratus dan dijangka dapat disiapkan mengikut masa, kos dan spesifikasi yang ditetapkan.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional perunding oleh kontraktor Erawan Power Sdn. Bhd. dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) sebagai agensi pelaksana dan Pasukan Projek Khas 2, JKR Malaysia bertanggungjawab untuk
memantau pengurusan dan pelaksanaan projek.

YANG BAKAL DISEDIAKAN

Antara kemudahan yang bakal disediakan bila projek ini siap kelak adalah 9 blok Pangsapuri Kelas G;
Pangsapuri Kelas C1, E & F; Rumah banglo dan rumah berkembar (semi-D); Tadika dan taska; Gelanggang serbaguna dan taman permainan serta Menara tangki air baharu.

Semua infrastruktur yang dibina ini akan memberi manfaat besar kepada
anggota tentera dan keluarga mereka, menjadikan kehidupan lebih selesa dan seimbang.

Suasana persekitaran yang moden dan lengkap juga dijangka dapat
menjadi pemangkin dalam meningkatkan semangat serta motivasi mereka menggalas tanggungjawab kepada negara.

MEMBUKTIKAN KESUNGGUHAN KERAJAAN

Projek ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam
menyediakan perumahan yang berkualiti untuk rakyat, khususnya anggota pertahanan selaras dengan teras utama Malaysia MADANI yang mengutamakan ihsan, kesejahteraan, keyakinan dan mampan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap pihak JKR terus memantau rapi kemajuan projek ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak kontraktor serta melakukan libat urus dan pemeriksaan yang berterusan supaya ianya dapat disiapkan mengikut masa, kos dan kualiti yang ditetapkan bagi mempercepatkan manfaatnya
kepada anggota pertahanan awam dan keluarganya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *