

Oleh: Sholina Osman
19 JULAI 2025
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengambil maklum berhubung gangguan teknikal pada sistem autogate yang menyediakan perkhidmatan kepada pelawat asing di pintu-pintu masuk utama negara sejak semalam.
Gangguan ini telah menyebabkan kesesakan dan barisan menunggu yang panjang di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Terminal 1 dan 2, serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.
Siasatan awal mendapati isu ini berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MylMMS menjadi perlahan.
TIDAK DAPAT BERFUNGSI
“Kesannya, sistem autogate yang digunakan oleh pelawat asing tidak dapat berfungsi buat masa ini,” kata kenyataan media oleh Unit Komunikasi Korporat AKPS hari ini (19 Julai).
AKPS ingin menegaskan bahawa sistem autogate bagi pemegang pasport Malaysia tidak terjejas dan masih berfungsi seperti biasa.
Bagi menangani isu kesesakan, langkah-langkah segera telah diambil.
SEDANG BEKERJASAMA RAPAT
AKPS dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sedang bekerjasama rapat untuk mengenal pasti punca sebenar masalah dan mencari jalan penyelesaian secepat mungkin.
Semua kaunter manual telah diaktifkan sepenuhnya dan anggota tambahan telah dikerahkan untuk menguruskan aliran keluar masuk pelawat serta mengawal barisan menunggu dengan kapasiti terbaik.
AKPS sedang berusaha sedaya upaya untuk memulihkan sistem dan melancarkan semula pergerakan di semua pintu masuk negara. – JM
