Keputusan Majlis Raja-Raja jawab cercaan isu pelantikan Ketua Hakim Negara – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 JULAI 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersyukur dengan keputusan Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong telah menjawab segala cercaan dan tohmahan berhubung isu pelantikan Ketua Hakim Negara.

Beliau menyatakan demikian ketika bertemu dengan pimpinan KEADILAN Selangor di Shah Alam.

“Saya turut mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa isu semasa, termasuk pelantikan Ketua Hakim Negara yang diganggu dengan tuduhan dan fitnah kononnya kita mahu merosakkan institusi kehakiman,” katanya dalam hantaran di FB.

“Kita mesti berani mempertahan prinsip ketelusan dan semak imbang,” tambah beliau.

MAHKAMAH MESTI BEBAS

Perdana Menteri berkata, mahkamah mesti bebas, tetapi bukan mutlak tanpa pertanggungjawaban.

Beliau berkata, di negara demokrasi besar seperti Perancis, Jerman dan Australia, eksekutif tetap punyai ruang menyuarakan pandangan.

Jelas beliau apa yang penting, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan dan integriti, bukan sentimen atau rekaan musuh politik.

Beliau berkata, anggota parti tidak harus terperangkap dalam naratif lawan yang cuba mencipta persepsi kononnya wujud krisis atau konspirasi.

UNTUK MEMBERI PENJELASAN

“Saya sentiasa terbuka untuk memberi penjelasan namun dalam hal ini, saya tidak boleh menyatakannya secara terbuka sebelum ini kerana perlu menghormati proses serta kebijaksanaan Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertuan Agong,” ujar beliau.

Anwar juga mengingatkan ahli parti KEADILAN supaya tidak boleh alpa kerana kuasa, jika tidak dijaga, mudah menjadi kilauan yang memukau dan merabunkan sekalipun beliau melihat semangat dan kekuatan akar umbi parti terus utuh.

Menyentuh situasi parti pasca pemilihan, beliau tegaskan KEADILAN mesti terus maju ke hadapan. Yang kalah perlu hormat keputusan, manakala yang menang mesti merangkul semua kekuatan.

Jelas beliau Inilah parti yang mewakili suara rakyat pelbagai latar, bukan milik satu kaum atau satu kelompok.

HARUS PERKUKUH PERPADUAN

“Kita harus perkukuh perpaduan dan kekuatan untuk berdepan musuh yang punyai dana, pengaruh dan rangkaian luas

Tetapi kita punya kekuatan sebenar: rakyat, semangat reformasi dan iltizam memperkasa negara. Lawan tetap lawan, dengan hujah, fakta dan keyakinan demi masa depan negara yang lebih adil dan bermaruah,” tambah beliau.- JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *