

Oleh: Sholina Osman
24 JULAI 2025
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan yang berunsur partisan, termasuk Himpunan “Turun Anwar”.
Kenyataan media MPP USM memaklumkan pendekatan ini diambil bagi memastikan badan ini kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh warga mahasiswa tanpa memihak kepada mana-mana ideologi politik.
MPP USM mengulas ini setelah mengambil maklum mengenai jemputan terbuka kepada mahasiswa institusi pengajian tinggi untuk menyertai Himpunan “Turun Anwar” yang dijadualkan berlangsung pada 26 Julai 2025 di ibu negara.
MPP USM sebagai badan rasmi yang mewakili suara mahasiswa USM menghormati kepelbagaian pandangan dalam kalangan mahasiswa, termasuk dalam soal kepimpinan dan dasar semasa negara.
HAK UNTUK BEESUARA
“Kami menjunjung prinsip bahawa setiap mahasiswa mempunyai hak untuk bersuara, sama ada menyokong atau tidak menyokong mana-mana pihak, asalkan ia dilakukan secara berhemah, aman dan mengikut saluran perundangan yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, MPP USM tidak akan terlibat secara rasmi dalam sebarang perhimpunan yang berunsur partisan, termasuk Himpunan “Turun Anwar”.
Pendekatan ini diambil bagi memastikan MPP USM kekal sebagai entiti yang bebas, neutral dan terbuka kepada seluruh warga mahasiswa tanpa memihak kepada mana-mana ideologi politik.
Dalam masa yang sama, MPP USM ingin menegaskan bahawa Universiti Sains Malaysia kini berada dalam tempoh peperiksaan akhir semester.
“Justeru itu, kami menyeru seluruh mahasiswa dan mahasiswi USM agar memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap peperiksaan yang sedang berlangsung,” katanya dalam kenyataan itu lagi. – JM
