PMX sampaikan sumbangan Sejahtera Madani

Oleh :- Wartawan JM
24 Julai 2025

PUTRAJAYA :- Nasib golongan sasar terus dibela dan diberi perhatian dengan memberi pelbagai sumbangan yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan sumbangan pada Majlis Peluncuran Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) di Kompleks Seri Perdana, hari ini.

Menurut PMX inisiatif berkenaan yang dilancarkan hari ini bertujuan menoktahkan kemiskinan berjaya mengumpul dana hampir RM120 juta.

Peluncuran Sejahtera MADANI hari ini membuka lembaran baharu dalam pendekatan kita menangani kemiskinan dan miskin tegar. Ia menghimpunkan kekuatan sektor korporat dan swasta dalam usaha bersama kerajaan melalui intervensi pendidikan, peningkatan pendapatan, perumahan dan kebajikan.

Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada usaha Kerajaan MADANI menoktahkan kemiskinan tegar.

Sejak 2023, hampir 150,000 isi rumah berjaya keluar daripada kelompok miskin tegar dan harapan PMX menerusi Sejahtera MADANI, mereka ini dapat diangkat sepenuhnya daripada kepompong kemiskinan.

“Alhamdulillah, sambutan korporat amat menggalakkan. Sasaran awal RM50 juta telah dilangkaui dengan komitmen mencecah RM120 juta sebelum pelancaran rasmi hari ini, mencerminkan kesediaan sektor swasta untuk memikul tanggungjawab sosial ini secara bersama” jelas PMX yang dipetik dalam laman FB beliau.

Beliau berkata, kerajaan akan terus menyelaras usaha ini. Sama ada sumbangan besar mahupun kecil, yang penting ialah keikhlasan dan kesanggupan untuk turun padang menyumbang masa, tenaga dan kepakaran demi kesejahteraan bersama.

Katanya, Malaysia ialah negara hebat dengan rakyat yang berhati besar.

” Dengan semangat Sejahtera MADANI, marilah kita berganding bahu membina masa depan yang lebih adil, inklusif dan sejahtera tanpa meninggalkan sesiapa di belakang, ” ujar beliau lagi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *