



Oleh: Sholina Osman
24 JULAI 2025
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Program Duta NADI di Sabah bagi mempromosikan inisiatif
Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta memperluas manfaatnya kepada komuniti setempat.
Kenyataan media Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan seramai 50 sukarelawan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah terpilih menyertai program ini yang julung-julung kali diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dengan kerjasama UMS dan Yayasan
Sukarelawan Siswa (YSS).
Para sukarelawan akan memainkan peranan penting dalam menyebar luas mesej advokasi MCMC, termasuk Kempen Internet Selamat (KIS), melalui pendekatan akar umbi bersama komuniti dan sekolah berhampiran di kawasan kediaman mereka.
MELEPASI SESI SARINGAN
Sukarelawan yang berjaya melepasi sesi saringan akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai 2025 di UMS.
Sepanjang bengkel ini, peserta akan didedahkan dengan asas kesukarelawanan, objektif dan fungsi NADI, modul Perkhidmatan Pintar NADI serta kandungan utama
KIS.
Mereka seterusnya dilantik sebagai Duta NADI, dengan tanggungjawab untuk menyampaikan taklimat kepada komuniti setempat termasuk pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu bapa, guru serta usahawan yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program di NADI.
INI MEMBUKA RUANG
Pendekatan ini membuka ruang yang signifikan untuk menarik penyertaan komuniti daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur untuk lebih mengenali fungsi NADI, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang ditawarkan
secara optimum.
Sebanyak 25 buah NADI telah dikenal pasti dan dipadankan dengan kampung halaman 50 orang sukarelawan siswa terpilih, bagi memastikan pendekatan yang lebih bersifat mesra komuniti dan relevan dengan keperluan setempat.
Sepanjang cuti semester yang bermula 28 Julai hingga 28 September 2025, para sukarelawan ini akan menggalas tanggungjawab sebagai Duta NADI dalam mempromosikan impak dan peranan pusat ini, khususnya kepada penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor, dan Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali. – JM
