Safar Ilmi MAIPs 2025′ libatkan tiga agensi kerajaan Rwanda RGB, RDB, RTB

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
24 JULAI 2025

Nilai integriti dan semangat patriotik terbukti menjadi pemangkin utama kepada kejayaan sesebuah negara ke arah sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global.

Hal ini menjadi tumpuan utama dalam sesi lawatan dan libat urus Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama tiga agensi utama kerajaan Rwanda, iaitu Rwanda Governance Board (RGB), Rwanda Development Board (RDB) dan Rwanda TVET Board (RTB) di Kigali, ibunegara Rwanda bersempena program ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’.

Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Keberangkatan Baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Hadir sama Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

RGB diwakili oleh Setiausaha Agungnya Edward Kalisa, RDB oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya Juliana K. Muganza dan RTB oleh Timbalan Ketua Pengarahnya Nassi Bisengo Agaba.

MEMAINKAN PERANAN STRATEGIK

Ketiga-tiga agensi tersebut memainkan peranan strategik dalam melaksanakan visi pembangunan nasional yang berteraskan perpaduan, akauntabiliti dan kepimpinan berwawasan. Nilai-nilai yang menjadi tonggak kepada kemajuan Rwanda sejak tragedi genosid 1994.

RGB bertanggungjawab memperkukuh tadbir urus negara menerusi sistem penilaian berprestasi seperti Rwanda Governance Scorecard yang menekankan aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan penyertaan rakyat.

Sementara itu, RDB berperanan sebagai pusat sehenti pelaburan dan pembangunan ekonomi negara yang menyatukan pelbagai fungsi termasuk ICT, pelancongan dan pembangunan sektor swasta, dengan inspirasi model agensi seperti MIDA di Malaysia dan EDB Singapura.

Dalam masa yang sama, RTB membuktikan bahawa pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional berupaya mengubah nasib golongan belia dan menyumbang kepada pengurangan pengangguran serta peningkatan daya saing ekonomi.

Lawatan ini turut membuka ruang kerjasama masa hadapan dalam bidang latihan kemahiran, pembangunan kapasiti dan pemerkasaan institusi seumpama Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), selari dengan agenda MAIPs untuk membentuk rakyat berdaya tahan melalui pendekatan berteraskan nilai dan kemahiran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Rwanda menjadi contoh negara yang bangkit melalui kekuatan jati diri, sistem kepimpinan berintegriti, serta patriotisme rakyat yang tinggi sekaligus menjadi inspirasi kepada usaha memperkukuh hala tuju dan perkhidmatan berimpak di negeri Perlis.

“Nilai integriti dan semangat cintakan tanah air bukan sekadar pelengkap pentadbiran, tetapi asas kepada terbentuknya sebuah negara gemilang.” – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *