Raja Muda Perlis lawat Alhidayat Islamic Institute di Nyarugenge, Kigali

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
24 JULAI 2025

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), berkenan melawat Alhidayat Islamic Institute di Nyarugenge, Kigali, sebagai sebahagian daripada Program Safar Ilmi MAIPs Tahun 2025 ke Republik Rwanda.

Mengiringi Baginda, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Turut serta, Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Dalam sesi lawatan berkenaan, Baginda dan delegasi memperkenalkan peluang pendidikan tinggi yang ditawarkan di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) kepada para pelajar sekolah berkenaan.

10 PELUANG PENGAJIAN

Sebanyak 10 peluang pengajian disediakan khusus kepada pelajar-pelajar cemerlang melalui sokongan MAIPs dengan kerjasama organisasi Rwandan Muslim Community (RMC).

Alhidayat Islamic Institute merupakan sebuah sekolah yang berada di bawah seliaan RMC Education yang merupakan sistem pendidikan komuniti Muslim Rwanda yang menekankan aspek pendidikan Islam serta kurikulum asas pendidikan kebangsaan.

Sekolah ini bukan berasrama, namun terkenal dengan tahap disiplin yang tinggi dan tenaga pengajar yang berpendidikan tinggi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga turut menzahirkan hasrat MAIPs untuk menerokai kerjasama strategik dalam bidang pendidikan bersama RMC Education, khususnya dalam usaha memperkukuh jaringan pendidikan Islam antarabangsa.

MAMPU MEMBUKA LALUAN

Peluang ini diharap mampu membuka laluan kepada lebih ramai pelajar dari Rwanda untuk melanjutkan pengajian di Malaysia, khususnya ke UniSIRAJ di negeri Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam ucapannya menegaskan bahawa pendidikan merupakan asas utama kepada pembangunan masyarakat dan pemerkasaan ummah.

“MAIPs komited untuk menjadi jambatan ilmu antara dunia Islam melalui hubungan rentas benua yang berteraskan hikmah dan nilai sejagat,” jelas beliau.

Tuanku Raja Muda dan delegasi turut berkenan mengadakan lawatan ke Pusat Islam dan Budaya Kigali yang merupakan sebuah kompleks Islam bersepadu yang terdiri daripada beberapa komponen seperti masjid, sekolah, pusat tahfiz Al-Quran, perpustakaan, dewan besar dan pelbagai pusat kegiatan komuniti setempat.

Keberangkatan Baginda diiringi Mufti Rwanda, Sheikh Musa Sindayigaya dan disambut Pengarah Pusat Islam berkenaan, Sheikh Abdul Latif Oula Aouid. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *