




Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan AKPS
25 JULAI 2025
Seorang pegawai penguat kuasa telah ditahan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pagi (24 Julai) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku “Setting Counter”.
Kenyataan media Unit Komunikasi Korporat Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan dalam penahanan itu, sejumlah wang tunai RM8,391.45, tiga peranti komunikasi, dan beberapa catatan nombor pasport ditemui dalam simpanan pegawai tersebut.
Penahanan dibuat kira-kira pukul 9:20 pagi selepas Unit Pemantau dan Unit Integriti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan tindakan mencurigakan pegawai terbabit melalui rakaman kamera litar tertutup
(CCTV) di kaunter pemeriksaan masuk.
Hasil siasatan awal mendapati catatan yang ditemui mengandungi empat digit terakhir nombor pasport, yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
UNTUK SIASATAN DALAMAN
Pegawai itu pada mulanya diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor untuk tindakan lanjut.
AKPS memandang serius sebarang bentuk pelanggaran integriti, terutamanya yang melibatkan keselamatan pintu masuk negara, dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat.
AKPS akan terus memberikan komitmen untuk terus memperkukuh pemantauan dalaman dan kerjasama antara agensi bagi memerangi salah laku dalam kalangan pegawai. – JM
