MCMC-JPN Selangor anjur Kempen KIS di SK Seksyen 9, Shah Alam

Oleh: Sholina Osman
26 JULAI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor hari ini (26 Julai) menganjurkan Karnival Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 9, Shah Alam.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan Karnival KIS ini merupakan sebahagian daripada kempen untuk mendidik generasi muda tentang keselamatan dalam talian serta membentuk jati diri digital yang beretika dan bertanggungjawab seawal usia di sekolah rendah.

Sebanyak 12 buah sekolah rendah, merangkumi seramai 240 orang pelajar dan 24 orang guru dari sekitar Shah Alam telah menyertai karnival ini.

Selain SK Seksyen 9, 11 lagi sekolah rendah yang terlibat dalam karnival ini ialah SK Seksyen 6, SK Seksyen 7, SK Seksyen 13, SK Seksyen 17, SK Seksyen 18, SK Seksyen 19, SK Seksyen 20, SK Shah Alam, SK Kota Kemuning, SK Padang Jawa dan SK Bandar Anggerik.

SEPERTI PERSEMBAHAN KOIR

Pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan seperti persembahan koir oleh pelajar SK Seksyen 9, Dinding Ikrar, pameran mengenai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) serta sesi interaktif bersama pelajar menggunakan Modul Kempen Internet Selamat bagi Tahap 1 dan Tahap 2.

MCMC komited untuk meluaskan pelaksanaan KIS ke lebih banyak sekolah rendah dan menengah, serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dalam masa terdekat.

Program sebegini diharap dapat membina ekosistem digital yang selamat, inklusif dan sejahtera untuk generasi masa depan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *