Projek “MAIPs Ndengu Revolution”, inisiatif pemulihan komuniti di Kenya diiktiraf IFRC

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
26 JULAI 2025

Projek “MAIPs Ndengu Revolution”, sebuah inisiatif pemulihan komuniti oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di wilayah Kitui, Kenya telah mendapat pengiktirafan rasmi daripada Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (International Federation of Red Cross – IFRC) atas sumbangannya yang bersifat transformatif terhadap kehidupan masyarakat setempat rentan pasca kemarau.

Demikian menurut kenyataan MAIPs.

Pengiktirafan ini dimaklumkan sendiri oleh Pengarah Serantau IFRC bagi Benua Afrika, Charles Mbeeta Businge dalam sesi perbincangan meja bulat bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ yang berlangsung di Nairobi.

Turut hadir mengiringi Baginda ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

BAHAWA INSTRUMEN ZAKAT

Menurut Charles Businge, Malaysia menerusi MAIPs telah membuktikan bahawa instrumen zakat boleh berkembang di peringkat antarabangsa dan menjadi pemacu kepada usaha pemulihan dan ketahanan komuniti dalam konteks bencana dan kemiskinan berpanjangan.

Beliau menyifatkan projek yang bermula sejak 2018 itu sebagai contoh terbaik bagaimana filantropi Islam dapat disepadukan dalam agenda kemanusiaan global dengan penuh profesionalisme dan integriti.

MAIPs melalui Projek “Ndengu Revolution” tersebut telah membangunkan pendekatan pemulihan jangka sederhana dan panjang kepada komuniti yang terjejas akibat kemarau di Kenya, antaranya melalui bantuan benih tanaman kekacang ndengu, input pertanian, sokongan sara hidup dan penguatan kapasiti komuniti.

KEPERLUAN JANGKA PENDEK

Projek ini tidak hanya menjawab keperluan jangka pendek, tetapi membina daya tahan dan keupayaan kendiri penerima.

Usaha MAIPs itu turut didokumenkan dalam beberapa laporan serta jurnal antarabangsa seperti “The Transformative Power of International Zakat : How zakat support from Malaysia helped communities in Kenya recover from drought” dan “Your duty for their dignity: The transformative power of international zakat financing”, yang diterbitkan oleh IFRC serta diangkat sebagai rujukan dalam wacana filantropi Islam global.

Pegawai Kanan IFRC bagi Kewangan Inovatif, Filantropi Islam dan Sektor Swasta, Ramya Gopalan, menyatakan bahawa MAIPs memainkan peranan penting dalam memperluas kefahaman terhadap konsep zakat sebagai instrumen pembangunan global yang responsif.

MERANGKA PANDUAN DASAR

MAIPs juga terlibat dalam penubuhan Kumpulan Penasihat Filantropi Islam di bawah IFRC yang berfungsi merangka panduan dasar dan garis sokongan bagi pelaksanaan bantuan kemanusiaan berteraskan prinsip Islam.

Dalam sesi berkenaan, pihak IFRC turut menyampaikan penghargaan terhadap peranan MAIPs dalam Projek Kenya Drought 2018, yang menjadi pemula kepada inisiatif jangka panjang yang kini dikenali sebagai Ndengu Revolution. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *