Raja Muda Perlis bertemu dengan pemimpin utama komuniti Islam di Kenya

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan MAIPs
27 JULAI 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meneruskan siri ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ ke Kenya dengan mengadakan pertemuan bersejarah bersama pemimpin-pemimpin utama komuniti Islam negara berkenaan, termasuk Majlis Tertinggi Muslim Kenya (SUPKEM) dan Jamia Mosque Committee (JMC) di Nairobi.

Menurut kenyataan MAIPs, majlis yang berlangsung di Jamia Mosque selepas menunaikan solat jumaat secara berjamaah dan dihadiri sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Warisnya Yang Jedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail itu dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, diikuti dengan sesi pengenalan oleh pihak penganjur dan wakil delegasi dari Malaysia, iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Hadir sama ialah Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Setiausaha Kedua Pejabat Suruhanjaya berkenaan, Syarafina Adilah Abdul Nasir.

KEHADIRAN DELEGASI DIRAJA

Pengerusi JMC, Sheikh Mohamed O. Warfa, dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan atas kehadiran delegasi diraja dari Malaysia, menyifatkan pertemuan ini sebagai permulaan penting kepada kerjasama yang lebih strategik antara komuniti Islam kedua-dua negara.

Pelbagai tokoh Muslim Kenya turut menyampaikan pandangan mereka dalam sesi ini termasuk: Billow Kerrow, Bendahari JMC yang berkongsi pandangan bertajuk “Kenya: Muslim Perspective”, Sheikh Jamaludin Osman, Imam JMC, Sheikh Abdullahi Abdi, Pengerusi NAMLEF, dan
Yang Berhormat Aden Duale, Menteri Kesihatan Kenya (EGHCS).

Tuanku Raja Muda Perlis dalam titah baginda kepada sekalian yang hadir menekankan peri pentingnya jaringan ukhuwwah dan diplomasi rakyat ke rakyat dalam memperkukuh solidariti ummah sejagat.

Baginda turut memuji sumbangan komuniti Islam Kenya yang bukan sahaja signifikan dalam pembangunan negara, bahkan memainkan peranan penting dalam membentuk naratif Islam sebagai agama rahmah

KOMITMEN PIHAK PERWAKILAN

Turut berucap ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kenya, Ruzaimi Mohamad, yang menyatakan komitmen pihak Perwakilan dalam mendukung sebarang usaha kerjasama antara institusi Malaysia dan komuniti Islam tempatan.

Majlis diteruskan dengan sesi bergambar, penyampaian cenderamata, jamuan makan tengah hari, serta sesi perbincangan tertutup antara JMC dan MAIPs bagi merangka inisiatif bersama masa hadapan.

Antara cadangan kerjasama yang dikemukakan dan untuk dipertimbangkan termasuk: Pembinaan sebuah masjid desa melalui kerjasama dengan Kenya Red Cross Society (KRCS), Penubuhan Pusat Dakwah oleh Jamia Mosque,

Selain bantuan pembangunan media Islam, dan penajaan pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *