Tanaman kenaf di Perlis berpotensi dikembangkan di Kenya

Oleh: Sholina Osman
27 JULAI 2025

Tanaman kenaf yang banyak diusahakan di Perlis dan utara Semenanjung Malaysia berpotensi besar untuk dikembangkan di Kenya, demikian menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Nairobi, Ruzaimi Mohamad.

Beliau berkata demikian menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika menerima keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi sempena ‘Safar Ilmi MAIPs 2025’ ke negara berkenaan.

Turut mengiringi Baginda berdua ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Profesor Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Haji Mohd Noor serta Setiausaha Kedua, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Nairobi, Syarafina Adilah Ahmad Nasir.

TANAMAN YANG TAHAN

Menurut Ruzaimi, kenaf, atau nama botaninya ‘Hibiscus cannabinus’ merupakan tanaman yang tahan lasak dan tidak memerlukan banyak air, menjadikannya sesuai dengan keadaan iklim separa gersang Kenya yang menerima hujan tahunan yang rendah.

“Malaysia, khususnya Perlis, merupakan antara pengeluar anak benih kenaf utama. Potensi besar kenaf di Kenya bukan sahaja sebagai tanaman penutup bumi tetapi juga untuk kegunaan industri,” ujar beliau.

Kenaf boleh dituai dalam tempoh 4 hingga 5 bulan untuk dijadikan makanan ternakan, manakala tempoh 6 hingga 8 bulan diperlukan untuk menghasilkan gentian yang sesuai dijadikan komponen kayu perabot atau papan berasaskan biofiber.

Dalam sesi tersebut, turut dipromosikan ialah hasil hiliran kenaf seperti cendawan sisir yang ditanam menggunakan bongkah kayu kenaf oleh syarikat dari Perlis Ecospora Utara, yang beroperasi di Lot 3 & 4, Pusat Industri Kenaf, Batu Bertangkup, Chuping, Perlis.

MENJANA PENDAPATAN ASNAF

Mohd Nazim yang turut serta dalam sesi tersebut memaklumkan bahawa MAIPs, Ecospora dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) Negeri Perlis sedang meneliti pelaksanaan projek menjana pendapatan asnaf melalui tanaman kenaf dan aktiviti hiliran di beberapa kawasan seperti Batu Bertangkup.

“Inisiatif ini merupakan susulan kepada lawatan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah baru-baru ini,” jelas beliau.

Keberangkatan Lawatan Tuanku Raja Muda Perlis dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis turut diserikan dengan promosi masakan tradisional, “Kurma Daging Perlis” anjuran Suruhanjaya tersebut dengan kerjasama MAIPs, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) yang disediakan khas untuk tetamu kenamaan dan kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *