

Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 2025
Kerajaan menyediakan 16 program berimpak tinggi telah diluluskan untuk manfaat masyarakat India sehingga Julai 2025, melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Kenyataan media Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklum program-program ini memberi tumpuan kepada tiga bidang utama pembangunan masyarakat iaitu Pendidikan dan latihan; Kerohanian dan kebudayaan dan Kesejahteraan sosial.
Langkah ini mencerminkan tekad berterusan Kerajaan MADANI dalam mengangkat peranan masyarakat India sebagai rakan pembangunan negara menerusi pendekatan yang inklusif, progresif dan berteraskan impak menyeluruh.
Dalam masa yang sama, terdapat juga beberapa permohonan yang tidak dapat diluluskan antaranya melibatkan program berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang bertindih serta berada di bawah bidang kuasa dan selenggaraan Majlis TVET Negara.
INISIATIF SEDIA ADA
Selain itu, beberapa lagi cadangan program tidak dapat diluluskan kerana bertindih dengan inisiatif sedia ada di bawah beberapa kementerian, termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Justeru, penyelarasan perlu dilakukan bagi mengelak pertindihan peranan dan penggunaan sumber.
Kerajaan MADANI akan terus memperhalusi dan menilai pelaksanaan beberapa lagi inisiatif strategik dalam masa terdekat bagi memastikan masyarakat India terus menerima manfaat pembangunan yang adil, saksama dan mampan.
Kerajaan teguh dengan prinsip bahawa setiap lapisan rakyat, termasuk komuniti India, berhak menikmati peluang dan kemajuan negara secara menyeluruh selaras dengansemangat Malaysia MADANI. – JM
