MCMC santuni penduduk di Kampung Sungai Relai, Gua Musang selesaikan masalah liputan

Oleh: Sholina Osman
30 JULAI 2025

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyantuni penduduk di Kampung Sungai Relai di Gua Musang, Kelantan bagi mendengar keluhan penduduk yang terkesan akibat masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di sana baru-baru ini.

Kenyataan media Komunikasi Korporat MCMC memaklumkan hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati, terdapat sebuah menara
komunikasi setinggi 76 meter yang dibina di kawasan berkenaan.

Namun menara tersebut hanya menempatkan peralatan gelombang mikro untuk menghubungkan dua menara yang berada di lokasi berlainan dan tidak menyediakan liputan rangkaian kepada pengguna di sekitar.

Bagi menilai tahap kualiti perkhidmatan selular di kawasan berkenaan, satu ujian turut
dilaksanakan.

MENGESAHKAN TIADA LIPUTAN

Hasil ujian mengesahkan tiada liputan di kawasan tersebut.

Oleh itu, kata kenyataan itu MCMC telah mengenal pasti beberapa langkah bagi menangani
masalah liputan komunikasi kurang memuaskan di kawasan tersebut.

Antaranya, Notis Suruhanjaya di bawah Seksyen 51(2), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 telah dikeluarkan kepada semua penyedia perkhidmatan yang telah gagal mematuhi piawaian ditetapkan untuk penyediaan liputan di kawasan ini.

CADANGAN MENARA BAHARU

Selain itu, MCMC juga telah mengenal pasti tapak cadangan menara baharu
yang akan memberikan liputan lebih menyeluruh kepada penduduk
setempat melalui pelaksanaan projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan datang.

MCMC turut berbincang dengan penyedia perkhidmatan untuk beri
pertimbangan agar menara sedia ada di kawasan tersebut dinaik taraf kepada liputan 4G menggunakan sambungan gentian optik yang lebih stabil.

MCMC akan terus memantau perkembangan pelaksanaan projek ini dan komited untuk memastikan penduduk di Kampung Sungai Relai mendapat akses perkhidmatan komunikasi yang berkualiti. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *