






Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pendekatan yang dirangka melalui inisiatif ‘Perlis Online Tuition’ yang melibatkan rakaman pengajaran guru yang berkualiti tinggi, penyiaran secara langsung di Saluran YouTube, serta penglibatan pelajar melalui pelantar interaktif ‘Google Meet’ mampu mewujudkan suasana pembelajaran secara dua hala yang kondusif, fleksibel serta melangkaui batasan bilik darjah’.
Baginda bertitah, usaha ini bukan sekadar sebagai program tambahan, tetapi sebagai satu elemen penting dalam strategi membantu meningkatkan pencapaian sekolah dan kecemerlangan pelajar.
“Saya berharap agar Perlis Online Tuition ini terus menjadi kebanggaan negeri Perlis, dan mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi memiliki nilai karamah insaniah yang tinggi, berjiwa besar dan menjadi rakyat bermentaliti kelas pertama dalam segala tindakan,” titah Baginda lagi.
MENYEMPURNAKAN MAJLIS PERASMIAN
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Perlis Online Tuition (POT2025) di Sektor Sumber Dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Jalan Padang Behor, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis Rose Aza Che Ariffin dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Bank Rakyat, Nor Aeiza Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Smart Aider, Tunku Rizal Shah Tunku Muzaffar Shah.
Program POT2025 telah mula dilaksanakan sejak 24 April 2025 dan akan berlangsung sehingga 5 September 2025 bagi tahun ini.
SALURAN RASMI YOUTUBE
Siaran langsung dijadualkan setiap hari pada jam 8.30 malam menerusi saluran rasmi YouTube SSTP JPN Perlis.
Sehingga 1 Ogos 2025, sebanyak 75 slot pengajaran telah berjaya dilaksanakan, meliputi pelbagai subjek teras dan elektif.
Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza, dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa sambutan pelajar terhadap Program POT amat memberangsangkan.
Sehingga 1 Ogos 2025, jumlah tontonan bagi keseluruhan slot telah mencecah hampir 20,000 tontonan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengajaran secara siaran langsung pada waktu malam melalui pelantar Google Meet lebih menarik perhatian pelajar, kerana mereka berpeluang berinteraksi dan mengemukakan soalan secara terus kepada guru.
MELAKSANAKAN TONTONAN POT
“Selain tontonan individu di rumah, beberapa buah sekolah turut mengambil inisiatif melaksanakan tontonan POT secara berkumpulan di sekolah di luar waktu siaran langsung, khususnya bagi pelajar yang memerlukan bimbingan berfokus dan suasana pembelajaran yang lebih terkawal,” tambah beliau lagi.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Program POT2025 serta menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM10,000 oleh Pengarah Urusan Smart Aider Sdn. Bhd., Ng Chee Loong kepada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diwakili oleh Setiausaha Kehormatnya, Datuk Johari Mohd Darus.
Baginda turut berkenan menyaksikan penyerahan Arm Robot daripada Ng Chee Loong bersama Tunku Rizal Shah kepada Pengarah Pendidikan Negeri Perlis. – JM
