Sultan Ibrahim lakar sejarah Agong pertama lawat Rusia – Istana Negara

Oleh: Sholina Osman
2 OGOS 2025

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia dari 5 hingga 10 Ogos 2025, atas jemputan Presiden Persekutuan Rusia Vladimir V. Putin.

Kenyataan Istana Negara hari ini (2 Ogos) memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke negara tersebut sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.

Lawatan ini turut melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara.

Lawatan ini bukan sahaja akan memperkukuh hubungan dua hala sedia ada, malah akan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.

MENGERATKAN KERJASAMA STRATEGIK

Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan mengeratkan kerjasama strategik dalam konteks Persekutuan Rusia sebagai Rakan Dialog ASEAN sejak tahun 1996.

Semasa berada di Moscow, Seri Paduka Baginda akan diterima Presiden Vladimir V Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti dengan satu pertemuan rasmi di antara kedua-dua Ketua Negara.

Seri Paduka Baginda turut berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Persekutuan Rusia.

MELAWAT PUSAT PEMBANGUNAN

Seri Paduka Baginda turut perkenan untuk mencemar duli melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI), dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.

Selesai lawatan ke Moscow, Seri Paduka Baginda telah berkenan untuk berangkat mengadakan lawatan ke Kazan, Republik Tatarstan pada 8 Ogos 2025.

Republik Tatarstan merupakan salah sebuah republik autonomi
Persekutuan Rusia dengan majoriti penduduk beragama Islam.

Di Kazan, Seri Paduka Baginda turut berkenan untuk menerima menghadap Rais Republik Tatarstan
Rustam Minnikhanov dan berangkat mengadakan lawatan ke pusat pembuatan dan pemasangan helikopter. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *