Mushaf Ummah akan diluncurkan di Nasyrul Quran, Putrajaya pada 8 Ogos – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
3 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pada 8 Ogos 2025 (Jumaat), satu projek yang dinamakan Mushaf Ummah akan diluncurkan di Nasyrul Quran, Putrajaya.

Beliau berkata Mushaf Ummah ini ialah hasil idea dan kelolaan tokoh qiraat antarabangsa Prof. Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawi, mantan Syeikhul Qurra’ Mesir.

“Ia merupakan versi mushaf istimewa yang dihasilkan bersama Yayasan Restu,” katanya dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar hadir dalam Majlis Perasmian Pembukaan Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-65 bagi tahun 1447 H / 2025 M di Kuala Lumpur yang bermula dari hari ini sehingga 9 Ogos 2025.

SALAH SATU IKHTIAR

Perdana Menteri menambah usaha ini adalah salah satu ikhtiar memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia, serta memperkenalkan Mushaf Ummah yang membawa mesej penyatuan dan dakwah.

Beliau berkata ini adalah respon balas kita terhadap insiden pembakaran Al-Quran sebelum ini.

“Kıta jawab kejadian seperti ini dengan mencetak lebih banyak al-Quran sebagai pendekatan berhemah dan berhikmah dalam menyampaikan mesej dakwah,” kata beliau.

“Kita bukan umat yang sarat dengan kemarahan, tetapi umat yang penuh pengetahuan dan kearifan dan menangani kritik, cabaran salah faham dan segala bentuk diskriminasi dalam pelbagai bentuk,” tambah Perdana Menteri.

MENGENAI SEMANGAT PENGHAYATAN

Saya singgung peringatan para alim mengenai semangat penghayatan Al-Quran mengenai kepentingan menghadam, memaknai dan dikaitkan dengan kehidupan seharian. Inilah yang disebutkan sebagai generasi Al-Quran yang unik (جيل القران الفريد) dimana ia berpangkal kepada usaha menguasai dan mendalami hikmah Al-Quran.

Kekuatan Al-Quran juga perlu dizahirkan melalui kemampuan dakwah yang sarat dengan mesej kasih sayang dan rahmah.

Dakwah sama ada dalam keadaan tenang dan gelora masih perlu elemen kasih sayang.

Kerajaan MADANI dalam konteks ini berusaha memperkasa perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan yang penuh dengan semangat rahmah dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT.

Firman Allah Taala:

‎فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. (Surah Ali Imran: 159) – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *