






6 OGOS 2025
KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim diberikan sambutan negara di Kremlin Moscow pada hari ini (6 Ogos), bersempena lawatan negara Seri Paduka Baginda ke Persekutuan Rusia.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada jam 3 petang (waktu tempatan Rusia) disambut mesra oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Vladimir V Putin, Presiden Persekutuan Rusia di Dewan St George.
Sultan Ibrahim yang berangkat tiba di Moscow, semalam (5 Ogos), melakar sejarah sebagai Ketua Negara Malaysia yang pertama mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Rusia sejak tertubuhnya hubungan diplomatik pada tahun 1967.
Seusai selesai Istiadat Sambutan Negara, Seri Paduka Baginda berkenan mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Putin.
Mengiringi bersama Seri Paduka Baginda ialah YB Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan yang juga Menteri Pengiring; Dato’ Seri Amran Mohd Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Dato’ Dr Azmi Rohani, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara dan TYT Dato’ Cheong Loon Lai, Duta Besar Malaysia ke Persekutuan Rusia.
Selepas selesai pertemuan, Seri Paduka Baginda kemudian berkenan berangkat ke majlis persembahan cenderahati dengan diiringi Presiden Putin.
Presiden Putin turut menghoskan Seri Paduka Baginda dalam satu majlis santapan negara di Chamber of The Facets.
