





6 Ogos 2025
PUTRAJAYA :- – Kementerian Digital hari ini mengumumkan penganjuran ASEAN AI Malaysia Summit 2025 yang bakal berlangsung pada 12 hingga 13 Ogos di MITEC, Kuala Lumpur. Sidang kemuncak ini julung kali diadakan bagi memperkukuh kerjasama, tadbir urus dan inovasi dalam bidang kecerdasan buatan di rantau Asia Tenggara.
Dalam satu sesi taklimat media yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan Fabian Bigar di MyDIGITAL Corporation, beliau menegaskan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam memacu pembangunan AI yang bertanggungjawab, selamat dan inklusif selaras dengan peranannya selaku Pengerusi ASEAN 2025.
Sidang kemuncak ini akan menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik, pembuat dasar dan masyarakat sivil dari seluruh dunia. Ia turut menampilkan penceramah utama antarabangsa serta pelbagai acara seperti forum belia, pameran perdagangan AI dan KL AI Takeover Week.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, layari www.aimalaysiasummit.gov.my.
