
Wartawan JM
8 OGOS 2025
Enam pelajar lelaki tingkatan empat di sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan di Kemaman, Terengganu direman tiga hari mulai
hari ini (8 Ogos) bagi membantu siasatan kes pukul dan buli ke atas seorang pelajar lelaki, bulan lalu.
Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin membenarkan perintah reman bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli mengesahkan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi 7 Ogos (semalam) selepas hadir di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.
DIBULI DAN DIPUKUL
Mohd. Razi berkata mangsa berusia 15 tahun itu mendakwa dibuli dan dipukul di dalam bilik asrama oleh kesemua suspek terbabit kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai lalu di hadapan beberapa pelajar lain.
 
Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa telah mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan.
 
Sehubungan itu, pengadu telah tampil membuat laporan polis pada 3 Ogos sebelum kesemua suspek terbabit ditahan semalam.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan (KK). – JM
