Malaysia pikul amanah besar sebagai Pengerusi ASEAN – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 OGOS 2025

Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memikul amanah besar untuk mengemudi rantau ini dalam menghadapi cabaran yang semakin kompleks.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini berada di fasa penutup kepengerusian menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober nanti yang akan menghimpunkan para pemimpin ASEAN bersama rakan-rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat, China, serta Pengerusi BRICS dan G20.

“Amanah ini bukan sekadar simbolik, dunia sedang memerhati dan kita harus pastikan kepengerusian ini meninggalkan kesan yang bermakna dan manfaat yang tersemat utuh buat seluruh komuniti ASEAN,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Terdahulu beliau diberi
kesempatan untuk mengenang detik bersejarah penubuhan ASEAN yang kini menjangkau usia 58 tahun.

ATAS VISI JAUH

“Kita menzahirkan penghargaan atas visi jauh dan iltizam para pengasas yang telah meletakkan asas kepada kestabilan dan kerjasama serantau hari ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, usaha Malaysia dalam membantu menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja hingga berjaya mengekalkan gencatan senjata merupakan satu pencapaian penting, bukti nyata komitmen kita sebagai pemacu keamanan dan pendamai serantau.

Namun, kata beliau kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan dan mandat daripada rakan-rakan ASEAN.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia dalam
memikul peranan penting ini,” kata Anwar.

CUKUP LUAR BIASA

Jelas beliau kemajuan yang dicapai dalam rundingan tersebut cukup luar biasa.

“Ia mengingatkan kita semua bahawa tanggungjawab ASEAN bukan hanya menjamin keamanan antara negara, tetapi juga memperkukuh kedamaian dan kestabilan dalam negara masing-masing,” tambah beliau.

Kata Perdana Menteri inilah kompas moral dan prinsip yang mesti terus kita junjung dalam membimbing haluan kita, sebuah ASEAN yang bersatu, aman dan makmur untuk semua. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *