PMX luncurkan terjemahan al-Quran yang ke-30 dalam bahasa Rusia

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
8 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan terjemahan al-Quran yang ke-30 dalam bahasa
Rusia, dan sekaligus meluncurkan Mushaf Ummah al-Jami’ di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

Projek ini merupakan inisiatif Kerajaan MADANI bersama Yayasan Restu untuk menyebarkan mesej al-Quran ke seluruh dunia melalui terjemahan rasmi dalam 30 bahasa.

Pelancaran Mushaf Ummah al-Jami’ adalah usaha yang mengumpulkan 20 riwayat melalui 10 Qiraat Mutawatir mengikut kaedah rasm Uthmani, yang dihasilkan oleh tenaga pakar anak tempatan Malaysia di bawah Yayasan Restu dan Nasyrul Quran.

“Usaha yang memakan masa lebih 5 tahun ini dihasilkan sebagai rujukan global unggul untuk menyebarkan ilmu dan khidmat terhadap al-Quran, demi manfaat umaf Islam seantero dunia,” kata beliau dalam hantaran di FB.

SEMUA YANG MENJAYAKAN

“Penghargaan dan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menjayakan usaha ini, terutama buat Fadhilatus Syeikh Dr. Isa El-Ma’sarowy yang telah memberikan sumbangan ilmu dan kepakaran dalam pembacaan kesemua riwayat qiraat tersebut,” kata Anwa.

Para pencinta al-Quran dan penuntut ilmu boleh mendengar bacaan dari pelbagai riwayat melalui kod QR yang disertakan di dalam mushaf ini.

Beliau juga menekankan bahawa tindakan mencetak lebih banyak naskhah al-Quran adalah pendekatan yang penuh hikmah dalam menyampaikan mesej dakwah.

Umat Islam adalah umat yang penuh dengan hikmah, pengetahuan dan kearifan, bukan umat yang dipenuhi sikap bengis dan amarah.

MEMBUAT MAJLIS PELEPASAN

Selesai Solat Jumaat di Nasyrul Quran, saya bersama seluruh tetamu dan jemaah surau telah membuat majlis pelepasan (Flag-off) Lori 1 kontena yang mengandungi Terjemahan al-Quran Bahasa Inggeris dan Sepanyol untuk diedarkan di luar negara.

Program ini sejajar dengan visi Malaysia MADANI yang memberikan penekanan terhadap aspek nilai, akhlak, dan adab. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *