Pengorbanan Allahyarham Koperal Hafiz Izham diingati, kebajikan keluarga terpelihara – Saifuddin

Oleh: Sholina Osman
8 OGOS 2025

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution melahirkan rasa penuh dukacita dengan berita pemergian Allahyarham Koperal
Mohd Hafizul Izham Mazlan yang telah terkorban ketika menjalankan tugas menangkap suspek dalam
satu kejadian jenayah di Alor Setar, Kedah semalam.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan seluruh warga kementerian ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga
Allahyarham.

“Pemergian beliau adalah
satu kehilangan besar buat pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara,” kata Saifuddin dalam kenyataan media hari ini (8 Ogos).

Saifuddin berkata Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham merupakan cerminan keberanian dan semangat juang tinggi seorang anggota barisan hadapan yang menjaga keselamatan dalam negara.

YANG TIDAK GENTAR

“Tindakan beliau yang
tidak gentar berdepan risiko demi memastikan keselamatan awam terpelihara adalah sesuatu yang amat
kami hargai dan sanjungi,” tegas beliau.

Pengorbanan seperti ini kata beliau menjadi inspirasi kepada semua barisan anggota keselamatan negara dan mencerminkan nilai-nilai luhur dalam perkhidmatan PDRM.

“Saya memberi jaminan bahawa kebajikan keluarga Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham
akan diberi perhatian sepenuhnya,” tambah beliau.

Beliau berkata, KDN dan PDRM akan memastikan segala urusan termasuk
pembayaran gratuiti, ex-gratia, ganjaran dan sumbangan kepada waris beliau disalurkan dengan segera.

DENGAN PENUH PENGHORMATAN

Selain itu kata beliau urusan pengurusan jenazah dan pengebumian Allahyarham juga akan diuruskan oleh pihak PDRM
dengan penuh penghormatan yang sewajarnya dengan jasa bakti beliau kepada negara.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Allahyarham Koperal Mohd Hafizul Izham
atas khidmat bakti beliau yang tidak ternilai,” tambah Saifuddin.

Terima kasih juga kepada seluruh warga PDRM atas semangat setia dan pengorbanan mereka yang tidak pernah luntur dalam memastikan keselamatan negara terus terpelihara. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *