Kerajaan MADANI tidak akan lindungi pembunuh, tiada istilah VIP – PMX

Wartawan JM
9 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sama sekali tidak akan melindungi pembunuh dan tiada sesiapa, termasuk orang kenamaan (VIP) akan dilindungi jika bersalah.

Tegas Anwar pembunuh tetap pembunuh, dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan.

“Saya telah meminta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Putrajaya supaya turun dan pantau sendiri kes ini bagi memastikan tidak timbul masalah yang melibatkan anak orang kenamaan atau sesiapa sahaja untuk dilindungi,” katanya sebagai merujuk kepada kes kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir di Sabah.

Terdahulu beliau berucap pada Program Rancakkan MADANI Negeri Kelantan di Dewan Utama Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan hari ini (9 Ogos).

AGAR SIASATAN PENUH

Dalam hantaran di FB, Perdana Menteri berkata beliau telah arahkan agar siasatan penuh, terbuka dan telus dijalankan berhubung kematian Zara Qairina.

“Tidak kira siapa pun yang terlibat, orang kenamaan atau orang biasa, tiada tolak ansur! Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan,” tegas beliau.

“Namun kita tidak boleh jadikan tragedi ini sebagai modal politik. Jangan bina istana di atas pusara,” tambah beliau.

Jelas Anwar menggunakan kesedihan keluarga untuk menyerang atau membina keuntungan politik adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

NYAWA YANG TERKORBAN

Tambah beliau nyawa yang terkorban bukan bahan permainan untuk diperalatkan.

“Atas syak wasangka dan mengikut lunas undang-undang, Peguam Negara telah mengarahkan supaya mayat digali semula untuk bedah siasat,” kata beliau.

Langkah ini penting katanya untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa kebenaran tidak disembunyikan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *