Nasi lemak hijau “rare” di Jalan Mata Ayer, Perlis jadi tumpuan

Oleh: Sholina Osman
9 OGOS 2025

Nasi lemak hijau! Peminat nasi lemak pastinya akan teruja untuk menikmati nasi lemak dalam warna hijau serta aroma wangi dari air daun pandan.

Bagaimanapun peluang menikmati nasi lemak hijau atau nasi lemak pandan ini terhad kerana hanya dijual mulai pukul 7.30 pagi setiap Sabtu dan Ahad sahaja.

Lokasinya hanya di pinggir jalan di Kilometer 2, Jalan Mata Ayer, Arau, Perlis telah sedia terpampang spanduk bertulis Warung Kak Ida Masakan Kampung.

Harganya sangat berbaloi apabila bermula dengan RM1.50 dengan lauk asas iaitu ikan bilis, kacang, timun, separuh telur rebus dengan sambal yang menyelerakan.

Bagaimanapun pelanggan mempunyai banyak pilihan lauk pauk lain termasuk daging masak hitam, ayam goreng, sardin, paru, ikan talang masin dan sebagainya lagi.

HARI PERTAMA PERNIAGAAN

Kata Hariza Rashid, 53 sempena hari pertama perniagaan nasi lemak hijau pada hari ini (9 Ogos) ternyata telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

“Saya ada menyediakan nasi lemak biasa (putih) tapi nampaknya pelanggan lebih berminat memilih warna hijau,” katanya yang turut menyediakan masakan lauk pauk tradisional Perlis pada hari-hari biasa.

Pada peringkat percubaan dia hanya menyediakan tiga kilogram beras untuk nasi lemak hijau dan biasa.

Bagaimanapun beliau tidak menjangka nasi lemak hijau lebih laris.

RATA-RATA PELANGGAN

Beliau berkata, rata-rata pelanggan memilih nasi lemak hijau sebab pilihan ini masih dianggap “rare”.

Jelas beliau antara punca ia menjadi “rare” kerana biasanya peniaga perlu membeli daun pandan dalam jumlah lebih banyak untuk kegunaan airnya bagi memasak nasi lemak.

Hariza mengakui dia tiada masalah mendapatkan bekalan daun pandan kerana ditanam di pekarangan rumah sendiri.

“Sebab itu saya pilih membuat nasi lemak hijau di mana ia menggunakan sepenuhnya pewarna asli dari air pandan,” ujar Hariza.

Bagi hari biasa, Hariza juga memasak lauk pauk kampung kegemaran orang Perlis antaranya kurma daging, gulai ikan kembung (temenung), sayur manis rebung dan bayam dan gulai daging rebung yang disediakan mulai pukul 11 pagi dari Isnin hingga Jumaat. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *