






Oleh: Sholina Osman
10 OGOS 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ingin melihat individu, keluarga dan komuniti di negeri Perlis yang prihatin dan mengambil berat status kesihatan diri masing-masing dan keluarga tersayang.
Walaubagaimana pun perlu ada program intervensi berstruktur yang boleh membimbing mereka dengan kerjasama semua agensi ke arah ‘Perlis Sihat Sejahtera’ tersebut.
Selari dengan inisiatif Perlis Go-Digital, baginda amat berharap agar semua perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan kerajaan di negeri Perlis dapat digembleng sepenuhnya ke arah merealisasikan hasrat ini secara lebih menyeluruh, termasuklah dalam sektor kesihatan.
Tuanku Raja Muda juga percaya bahawa, di bawah pelaksanaan inisiatif ini, rekod perubatan individu pada masa akan datang boleh diakses dengan pantas melalui aplikasi bersepadu, sekali gus memudahkan perancangan penjagaan kesihatan secara lebih efisien dan holistik.
MERASMIKAN KARNIVAL SIHAT
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan ’Karnival Sihat Milik Semua 2025’ peringkat Negeri Perlis Sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan DYMM Tuanku Raja Perlis yang diadakan di Dewan 2020 Kangar hari ini (9 Ogos).
Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dengan sokongan Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis.
Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mengiringi keberangkatan baginda berdua ialah Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. – JM
