





Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 OGOS 2025
Kestabilan politik adalah prasyarat kemajuan ia mesti dijaga agar ekonomi berkembang dan dasar dapat dilaksana meskipun di luar musim pilihan raya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerana itu, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang di Parlimen tempoh hari membawa dasar jelas dengan pemantauan setiap enam bulan, bukan menunggu separuh penggal seperti amalan lalu.
“Pendekatan MADANI mengangkat pendekatan kemajuan teknologi dan industri disertai peningkatan gaji serta pendapatan rakyat, termasuk petani dan nelayan. Kekayaan negara mesti diagih adil, tanpa ruang untuk rasuah dan ketamakan,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Sebelum itu Perdana Menteri meluncurkan program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.
KEBANGKITAN NEGARA INI
Anwar juga menegaskan bahawa kebangkitan negara ini tidak bergantung kepada elit, tetapi daripada penyertaan rakyat yang sedar, berilmu dan bersedia.
“Sejarah Islam membuktikan bahawa perubahan berlaku dengan pendidikan, pencerahan dan perancangan yang rapi,” katanya.
Beliau menjelaskan Hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah bukan sekadar perpindahan, tetapi sebuah misi yang disokong anak muda, wanita, sahabat setia, bahkan orang bukan Islam, yang diatur dengan strategi yang matang.
BERMULA DARI DALAM
“Hakikat perubahan sebenar perlu bermula dari dalam diri. Filsuf Perancis Alexis de Tocqueville menyebut habits of the heart — hati nurani yang mahukan kebaikan, keadilan dan menolak kemungkaran,
Tanpanya, masyarakat akan hilang rasa kemanusiaan dan membiarkan kezaliman berterusan” tambah beliau.
Beliau berkata, demokrasi yang hidup memerlukan penyertaan aktif rakyat melalui saluran seperti parti politik, NGO dan badan perantara.
“Inilah yang mahu digerakkan melalui Akademi Kenegaraan Malaysia kerana pembangunan sebenar bukan hanya fizikal atau ekonomi, tetapi membentuk insan berakhlak dan bermaruah,” kata Anwar lagi. – JM
