Kerajaan Persekutuan, Negeri perlu bergerak seiring untuk mudah capai kemajuan – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
10 OGOS 2025

Kemajuan negeri lebih mudah tercapai jika Kerajaan Persekutuan dan Negeri bergerak seiring dalam pelaksanaan projek penting seperti tebatan banjir dan bekalan air hingga pembasmian kemiskinan tegar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata program MADANI Rakyat bukan sekadar ruang mengumumkan pencapaian, tetapi medan rakyat menilai, bersuara, dan memberi sumbang saran berharga.

“Pandangan tentang kos sara hidup, pendidikan, keselamatan dan teknologi baharu menjadi pemacu penting untuk memperkukuh dasar negara,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Terdahulu Anwar berucap merasmikan majlis penutup Program MADANI Rakyat Negeri Kelantan 2025 di Kota Bharu.

MENGANGKAT TARAF HIDUP

Perdana Menteri berkata pertumbuhan ekonomi yang kita rancang mesti mengangkat taraf hidup rakyat.

“Sebab itu Kerajaan MADANI menaikkan gaji minima, menambah pendapatan nelayan dan petani, serta menaikkan gaji penjawat awam, meskipun melibatkan peruntukan sehingga RM18 bilion, kerana setiap titis keringat rakyat wajar dibalas dan dihargai,” kata beliau.

Berikutan itu kata beliau generasi masa depan juga perlu dipersiapkan dengan Kecerdasan Buatan (AI), STEM dan pendidikan moden digabungkan dengan turath Islam dan nilai budaya, agar mereka teguh berakar pada warisan namun lincah bersaing di pentas dunia.

“Kos sara hidup kita tangani secara berani dengan menyusun semula subsidi ayam, mengangkat hasil tempatan dan memacu produktiviti pertanian,” tambah beliau.

Langkah ini kata beliau bukan sekadar mengawal harga, tetapi membina kemandirian negara.

“Inilah MADANI yang mendengar suara rakyat, bertindak dengan tekad, dan memastikan kemajuan yang inklusif untuk semua,” jelas beliau lagi. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *