


Oleh: Sholina Osman
11 OGOS 2025
Sejumlah 8.6 juta rakyat akan menerima pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai 12 Ogos 2025 (esok).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah ini merupakan peningkatan seramai 300,000 daripada 8.3 juta penerima Fasa 1 pada Januari 2025.
“Dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion ini akan membolehkan rakyat menerima bayaran sehingga RM650 setiap seorang bagi fasa ini,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini (11 Ogos).
Beliau berkata, peningkatan jumlah penerima ini adalah hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak.
AMANAH YANG DIPIKUL
“Pembukaan permohonan dan rayuan sepanjang tahun menunjukkan Kerajaan MADANI tidak mengambil enteng amanah yang dipikul untuk meningkatkan maslahat rakyat terbanyak, agar tiada yang tercicir daripada mengecapi limpahan negara,” kata Anwar.
Pembayaran STR Fasa 3 akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat2 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Jika nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan STR boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat mengenai STR. – JM
