







Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
12 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Penasihat Kerajaan Republik Rakyat Bangladesh, Profesor Dr Muhammad Yunus Chief Adviser GOB mengetuai delegasi negara masing-masing dalam mesyuarat dua hala yang penuh makna, bagi menilai kemajuan hubungan Malaysia dan Bangladesh selain meneroka bentuk kerjasama baharu yang dapat memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Beliau berkata perbincangan mencakupi pelbagai bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan, pertahanan, serta pengukuhan kerjasama dalam ekosistem halal dan pertukaran budaya.
“Saya juga menzahirkan penghargaan atas sokongan konsisten Bangladesh terhadap isu-isu kemanusiaan, khususnya terkait pelarian Rohingya,” kata beliau dalam hantaran di FB.
PERTUKARAN BEBERAPA DOKUMEN
Kedua mereka juga turut menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting yang bakal membuka lembaran baharu hubungan dua hala, merangkumi bidang pertahanan, ekosistem halal, gas asli cecair (LNG), pendidikan tinggi, serta kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan komuniti perniagaan kedua-dua negara.
“Saya percaya hubungan akrab Malaysia dan Bangladesh ini akan terus terjalin berteraskan hormat, kepercayaan, dan komitmen jitu untuk membawa kemajuan bersama, bukan sahaja demi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara, malah demi keamanan, kestabilan, dan kemakmuran rantau ini,” tambah Perdana Menteri. – JM
