





Oleh: Sholina Osman
12 OGOS 2025
Malaysia terus komitmen ke arah pembetukan masa hadapan berteraskan inovasi yang inklusif, mampan dan dipacu oleh bakat dan kreativiti.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata dengan penyertaan ke Ekspo 2025 Osaka juga menyediakan platform strategik bagi memperkukuhkan jaringan kerjasama khususnya di antara Malaysia dan Jepun ke arah pembangunan masa depan digital yang kolektif.
Gobind berkata demikian ketika merasmikan Minggu Kementerian Digital Bertemakan “Weaving a Future in Harmony” secara dalam talian hari ini (11 Ogos).
Kenyataan media Kementerian Digital juga memaklumkan bahawa penyertaan rasmi kementerian dalam Pavilion Malaysia pada minggu ke-18 ini diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menonjolkan keupayaan dan potensi negara dalam bidang teknologi kreatif yang merangkumi sektor animasi, permainan digital, teknologi imersif dan pembangunan kandungan asli berasaskan harta intelek (IP) tempatan.
PEMERKASAAN LITERASI DIGITAL
Majlis turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Unbound dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang melibatkan kerjasama dalam inisiatif pemerkasaan literasi digital dan pembangunan belia yang merangkumi latihan Al dan TVET, pembelajaran gamifikasi menggunakan teknologi AR serta penyelidikan dasar dan etika Al dengan sokongan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Kementerian Kewangan.
Sepanjang Minggu Kementerian Digital ini, 14 syarikat kreatif digital tempatan akan diketengahkan melalui pelbagai sesi pameran dan aktiviti interaktif yang diatur seperti demonstrasi permainan dan animasi, pengalaman realiti maya (VR), perarakan maskot, segmen “pocket talk” dan sesi padanan perniagaan.
Pengunjung turut berpeluang mencuba permainan digital No Straight Roads hasil karya syarikat tempatan, Metronomik yang akan turut bekerjasama dengan syarikat penerbit terkenal Jepun, Shueisha Games bagi membangunkan No Straight Roads 2.
Kolaborasi ini menyaksikan kesinambungan kepada IP tempatan sekaligus membuktikan potensi kandungan kreatif Malaysia di peringkat global.
ADALAH PLATFORM TERBAIK
Penyertaan KD ke Ekspo 2025 Osaka adalah platform terbaik bertaraf antarabangsa bagi Malaysia untuk mempamerkan keupayaan ekosistem digital negara, menonjolkan bakat pencipta kandungan digital tempatan, memperluas jaringan kerjasama strategik dan meningkatkan potensi pelaburan yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital negara.
Selain itu, penyertaan ini juga dapat memperkukuh keterlihatan negara sebagai peneraju transformasi pendigitalan di rantau Asia Tenggara ke arah mencapai aspirasi negara sebagai sebuah hab industri digital terpenting di rantau Asia.
Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, yang akan berlangsung dari 13 April hingga 13 Oktober 2025, merupakan platform strategik di peringkat antarabangsa untuk
Malaysia mempamerkan kekuatan ekonomi, keupayaan teknologi, dan identiti budaya negara.
Sepanjang enam bulan pameran dan sesi libat urus, Pavilion ini bertujuan membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran global, membina perkongsian rentas sempadan, serta mempromosikan inovasi dengan sasaran pelaburan sebanyak RM13 billion.
Pendekatan keseluruhan Kerajaan telah diterapkan dalam pelaksanaan program mingguan Pavilion ini, dengan penyertaan aktif daripada 21 kementerian persekutuan dan kira-kira 70 jabatan serta agensi kerajaan,
menjadikannya satu usaha kolaboratif yang menyeluruh untuk memperkukuh
kedudukan Malaysia di pentas dunia. – JM
