Raja Muda santuni 6 anak Perlis tajaan YTSP Perlis belajar di Penang Free School

Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan YTSP Perlis
14 OGOS 2025

Seramai enam pelajar tingkatan dua dari Perlis kini menempuh tahun kedua alam persekolahan di Penang Free School (PFS) bagi sesi persekolahan tahun 2025.

Pelajar-pelajar terpilih ini sedang meneruskan persekolahan mereka dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima di bawah program biasiswa Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis bernilai RM72,000 sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

Program ini merupakan inisiatif terbaharu YTSP Perlis yang memberi peluang kepada anak-anak jati negeri untuk menimba ilmu dan pengalaman dalam persekitaran akademik di sekolah Inggeris tertua di negara ini, di samping menikmati pendedahan sosial yang berbeza, sekali gus membina jati diri yang mantap.

MELUANGKAN MASA BERSAMA

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyantuni dan meluangkan masa bersama enam pelajar tersebut sempena Majlis Santapan Tengah Hari sempena Lawatan Peserta Bengkel Jati Diri Yang Cemerlang Untuk Pelajar Terbaik Serta Pengawas Terpilih Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Perlis ke Penang Free School di Jalan Masjid Negeri, Georgetown, Pulau Pinang.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta anakanda putera Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Program tersebut dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran ‘Perlis Food Promotion’ melalui hidangan ‘Kurma Daging Perlis’ yang menjadi antara identiti masakan tradisi negeri sempena kempen ‘Tahun Melawat Perlis 2024-2025′ yang disambung hingga penghujung tahun hadapan bagi disekalikan dengan Tahun Melawat Malaysia 2026’.

Pihak MAIPs turut mengumumkan sumbangan tiga unit mesin penapis air Coway atau setara dengannya untuk kegunaan pelajar PFS. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *