
Wartawan Jendela MADANI
14 OGOS 2025
Sekumpulan pensyarah dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang diketuai Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh dari Kumpulan Penyelidikan Bahan Pembungkusan Elektronik dan Filem Nipis telah menjalankan kajian lanjutan dalam bidang semikonduktor di fasiliti penyelidikan pemecut zarah, National Synchrotron Radiation Research Center (NSRRC), Taiwan.
Kenyataan media Komunikasi Korporat UniMAP memaklumkan pasukan penyelidik ini yang turut disertai beberapa penyelidik dari Centre of Excellence Geopolymer and Green Technology serta beberapa pelajar pascasiswazah ini telah menjalankan pengujian bahan menggunakan teknik Pendarfluor Sinar-X berskala nano (nano-scale X-ray Fluorescence), sebuah teknik berketepatan tinggi yang dijalankan di NSRRC yang terletak di Hsinchu Science Park, salah satu hab teknologi industri dan penyelidikan di Taiwan.
Prof Madya Dr Mohd Arif Anuar berkata, ujian yang dilakukan kali ini tertumpu kepada pembangunan penyambungan elektronik berketahanan tinggi yang mampu bertahan dalam keadaan persekitaran ekstrem, selaras dengan keperluan pengembangan teknologi industri semikonduktor global masa kini.
PENYELIDIKAN PEMECUT ZARAH
“Fasiliti penyelidikan pemecut zarah di NSRRC ini mempunyai kemampuan alur bersaiz nanometer, membolehkan analisis struktur dan komposisi bahan dilakukan dengan ketepatan sangat tinggi.
Teknologi ini amat sesuai untuk penyelidikan dalam bidang semi konduktor dan pembungkusan elektronik termaju, sekali gus membuka jalan kepada pembangunan penyelidikan bahan baharu yang lebih tahan lasak serta sesuai untuk aplikasi berprestasi tinggi.
“Kerjasama dengan fasiliti bertaraf dunia seperti NSRRC membolehkan kami mempertingkatkan keupayaan penyelidikan di UniMAP dan memberikan pendedahan teknologi termaju kepada penyelidik muda terutama pelajar pascasiswazah,” ujarnya.
PUSAT PENYELIDIKAN UTAMA
Selain pengujian bahan, kumpulan penyelidik UniMAP turut mengadakan perbincangan kerjasama penyelidikan dengan pusat penyelidikan utama di Taiwan, iaitu College of Semiconductor Research dan Center for Nanotechnology, Materials Science and Microsystems di National Tsing Hua University (NTHU), yang diketuai oleh Prof Fan-Yi Ouyang.
Kolaborasi itu bagi memperkukuh dan memperluas jaringan penyelidikan antara Malaysia dan Taiwan dalam bidang semikonduktor.
UniMAP merupakan sebuah universiti teknikal dan mempunyai bidang tujahan elektrik dan elektronik kini dilihat bersedia memainkan peranan strategik dalam menyokong Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), sebuah inisiatif kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab utama semikonduktor di rantau ASEAN.
MEMPERKASA EKOSISTEM SEMIKONDUKTOR
Dengan membina jaringan kolaborasi penyelidikan bersama institusi global, Malaysia bukan sahaja memperkasakan ekosistem semikonduktor domestik, malah turut menjadi pemacu utama pertumbuhan teknologi tinggi ASEAN, sejajar dengan peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Penyelidikan seperti ini bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan teknologi dalam negara, malah berpotensi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global semikonduktor melalui inovasi dalam bahan semikonduktor dan pembungkusan elektronik.
Inisiatif ini turut sejajar dengan aspirasi Malaysia dan negara-negara ASEAN untuk meningkatkan daya saing serantau dalam sektor teknologi tinggi, sekaligus menarik lebih banyak pelaburan asing dan memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. – JM
