





13 Ogos 2025
PUTRAJAYA, 13 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus komited memperkukuh budaya antirasuah melalui pelaksanaan Program Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) bersama Kumpulan Pelaksana Jabatan Peguam Negara Malaysia bagi tahun 2025.
Program yang berlangsung selama 2 hari ini dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Suzana binti Atan, Peguam Cara Negara Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan penerapan budaya integriti dalam kepimpinan dan menolak sekeras-kerasnya amalan rasuah di kalangan kakitangan AGC.
Seramai 115 peserta telah didedahkan dengan pengisian program antaranya aspek tatakelola, integriti dan rasuah dalam perkhidmatan awam serta pemahaman mendalam berkaitan peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 yang telah disampaikan oleh Penolong Pesuruhjaya Mohamad Izam bin Abd Nasir daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat (PenMas), SPRM. Antara tumpuan utama termasuklah isu rasuah dalam perolehan kerajaan, simptom, punca dan kesannya terhadap sistem pentadbiran, di samping pendedahan kepada kesalahan-kesalahan lazim yang sering berlaku dalam kalangan penjawat awam. Selain itu, elemen interaktif turut diterapkan melalui pendekatan gamifikasi antirasuah yang bertujuan menguji kefahaman dan membentuk kepekaan terhadap isu rasuah dalam situasi sebenar.
Program ini bukan sahaja memperluas kesedaran mengenai bahaya rasuah, malah menjadi platform penting dalam memperkasa kepimpinan jabatan dengan nilai-nilai integriti dan akauntabiliti, sejajar dengan aspirasi negara membina perkhidmatan awam yang telus dan berwibawa.
