


Oleh: Sholina Osman
15 OGOS 2025
Dakwaan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak melaksanakan audit daging import Australia adalah tidak berasas.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata ini kerana semua proses dijalankan mengikut standard dan piawaian yang telah ditetapkan oleh kedua-dua negara.
Selain itu kata beliau ia bagi menjamin hanya produk yang benar-benar halal sampai kepada masyarakat, khususnya umat Islam di Malaysia.
Sehubungan itu katanya masyarakat diingatkan supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, serta merujuk sebarang isu berkaitan halal kepada pihak berkuasa yang berwibawa untuk pengesahan.
VIDEO YANG TULAR
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media hari ini (15 Ogos) berhubung video yang tular di media sosial dengan tajuk “JAKIM jarang audit daging import Australia, rakyat Malaysia termakan bangkai” itu dimaklumkan adalah rakaman lama dari tahun 2022 yang kembali ditularkan.
“Video tersebut mengandungi maklumat yang tidak tepat serta berpotensi mengelirukan orang ramai di mana seperti dimaklumi, JAKIM mempunyai mekanisme penilaian dan pemantauan halal yang bersifat holistik, melibatkan prosedur yang komprehensif di peringkat nasional dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” kata beliau.
Beliau menjelaskan mekanisme ini turut merangkumi penilaian serta pemantauan berterusan terhadap badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM, bagi memastikan hanya produk yang benar-benar mematuhi hukum syarak dan piawaian Malaysia dibenarkan masuk ke pasaran negara.
PEMPROSESAN PRODUK DAGING
“Proses sembelihan serta pemprosesan produk daging dan berasaskan daging yang dibekalkan atau dieksport ke Malaysia wajib memathi hukum syarak, Standard Malaysia (MS 1500) dan Malaysian Protocol for the Halal Meat and Poultry Productions, di samping memathi peraturan khusus negara pengeksport,” kata beliau.
Beliau menjelaskan hanya produk daripada rumah sembelihan dan loji pemprosesan yang telah disahkan halal oleh badan pensifilan halal luar negara yang dilktiraf JAKIM, serta telah diaudit dan diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan JAKIM, dibenarkan dieksport ke Malaysia.
Sirajuddin berkata, di peringkat antarabangsa, JAKIM mempunyai Pejabat Atase Halal di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Canberra, Australia, yang bertanggungjawab melaksanakan pemantauan secara berjadual dan berterusan terhadap rumah sembelihan dan loji pemprosesan produk daging yang telah diluluskan serta diiktiraf oleh DVS Malaysia.
PENYEDIAAN DAGING HALAL
“Pihak berkuasa Australia sendiri iaitu The Department of Agriculture, Fisheries and Forestry (DAFF) turut menguatkuasa peraturan yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk tujuan eksport,” tambah beliau.
Beliau berkata hanya produk yang memenuhi peraturan eksport Australia serta memathi keperluan negara pengimport, termasuk syarat halal Malaysia, akan dibenarkan dieksport.
Selain itu, katanya di pintu masuk negara, pemeriksaan menyeluruh dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Tambahnya semua dokumen termasuk Sijil Pengesahan Halal, ‘Consignment Note dan butiran pengimportan diperiksa secara terperinci.

”Hanya produk yang sahih, lengkap, dan memenuhi semua syarat akan dibenarkan masuk ke pasaran tempatan,” jelas beliau lagi. – JM
