




Oleh Noraini Nordin
14 Ogos 2025
Serangan pihak tidak bertanggungjawab
terhadap anak bekas Menteri Ekonomi Datok Seri Rafizi Ramli turut membuatkan Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar menzahirkan kekecewaannya.
Dengan perasaan dukacita yang mendalam, Nurul Izzah mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut serta menyifatkannya sebagai sesuatu yang mengerikan.
TIADA SEORANG PUN KANAK-KANAK SEPATUTNYA TERDEDAH KEPADA BAHAYA SEPERTI ITU
Menurut Nurul Izzah, tiada seorang pun kanak-kanak sepatutnya terdedah kepada bahaya seperti itu.
“Serangan tersebut bukan sahaja merupakan jenayah besar, malah telah melanggar prinsip asas kemanusiaan.
“Sebagai seorang manusia dan seorang ibu, saya memahami keresahan serta kegusaran yang sedang ditanggung oleh Rafizi dan keluarganya,” katanya melalui catatan di media sosialnya.
Kata Nurul Izzah, beliau berasa amat terkesan kerana sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pihaknya telah menumpukan perhatian kepada usaha melindungi murid-murid sekolah daripada ancaman dan buli di alam maya,” tambahnya lagi.
Tegasnya, politik boleh menjadi medan pertarungan idea dan pandangan, namun keselamatan anak-anak serta keluarga tidak sepatutnya menjadi taruhan atau alat tekanan.
DESAK PIHAK BERKUASA SEGERA BERTINDAK
Sehubungan itu, mewakili seluruh keluarga besar KEADILAN, Nurul Izzah mendesak pihak berkuasa untuk bertindak segera, menyiasat dengan telus dan memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan – tanpa kompromi dan tanpa pengecualian.
“Jika hari ini kita tidak mengambil tindakan tegas untuk mencegah ancaman dan intimidasi sebegini, negara kita bakal kehilangan segala harapan.
“Ancaman seperti ini mesti ditangani dengan usaha yang tegas dan menyeluruh daripada pihak berkuasa agar ia tidak memusnahkan negara kita.
“Tiada sesiapa pun yang wajar dijadikan sasaran atau mangsa dalam permainan politik, dalam apa jua bentuk sekali pun,” jelasnya.
Dalam hal ini, beliau menggesa semua pihak mengetepikan segala perbezaan dan mengecam sebulat suara segala tindakan yang melangkaui batasan.
Sama seperti suara tegasnya dalam isu Zara Qairina sebelum ini, Nurul Izzah menyeru semua pihak bersama-sama menentang budaya buli serta intimidasi bagi membina Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar selamat buat semua anak-anak.
