Kertas siasatan kes Zara Qairina dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara esok

Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2025

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes Zara Qairina Mahathir akan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara pada 18 Ogos 2025 (esok).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata ia bagi mendapatkan nasihat dan arahan setelah tindakan siasatan lanjut dilaksanakan oleh Pasukan Khas (Task Force), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Setakat ini seramai 195 orang saksi telah dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini (17 Ogos).

IA MELIBATKAN SAKSI

Beliau berkata ia melibatkan saksi yang terdiri daripada pelajar, guru, pegawai perubatan, warden, pengawal keselamatan, ibu bapa dan lain-lain saksi yang material kepada siasatan.

“Siasatan polis memfokus kepada dua elemen penting iaitu dari aspek inkues dan aspek perlakuan jenayah lain seperti buli serta penularan berita palsu,” jelas beliau.

PDRM menyeru masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mencetuskan sentimen yang boleh menimbulkan suasana tidak harmoni selain memberi jaminan bahawa proses siasatan yang dilaksanakan adalah secara menyeluruh dan telus tanpa melindungi mana-mana pihak. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *