Raja Puan Muda Perlis sambut baik inisiatif-inisiatif pendidikan terkini yang diperkenalkan

Oleh: Sholina Osman
17 OGOS 2025

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyambut baik inisiatif-inisiatif pendidikan terkini yang telah diperkenalkan seperti pengukuhan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), integrasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pengupayaan TVET, perluasan Pendidikan Digital serta pelaksanaan Sekolahku SEJAHTERA.

Baginda bertitah, kesemua dasar ini memberi tumpuan kepada pembangunan murid yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani, bersesuaian dengan cabaran abad ke 21.

“Dalam dunia yang pesat berubah dan didorong oleh teknologi seperti kecerdasan buatan dan automasi, amat penting untuk generasi muda dibekalkan dengan keupayaan literasi digital, kecekapan menyelesaikan masalah serta kebolehan berkomunikasi dan bekerjasama,” titah Baginda lagi.

MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN

Demikian titah perutusan Tuanku Lailatul Shahreen Akahshah sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Lailatul Shahreen Tahun 2025.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua SMK Tuanku Lailatul Shahreen, Lili Mariam Mohamad @ Mokhtar dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Mohd Nazri Baharin.

Lili Mariam dalam ucapan aluannya berkata sekolah ini mencatat tahun gemilang 2024 dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 100%, peningkatan Gred Purata Sekolah daripada 3.44 kepada 3.35, dan lonjakan murid memperoleh semua A termasuk 7 murid meraih 9A berbanding hanya seorang pada tahun sebelumnya.

TERSENARAI 50 TERBAIK

Kecemerlangan akademik turut diperkukuh melalui kejayaan 14 murid dalam peperiksaan DELF Bahasa Perancis, dengan Muhammad Ateequllah Nor Azemi tersenarai 50 terbaik kebangsaan.

Dalam bidang STEM, SMKTLS melakar pencapaian menerusi projek inovatif seperti Junior Maker, RC Jet, dan perancangan Drone Centre, selain terpilih mempamerkan projek di Karnival STEM Kebangsaan.

Arena sukan menyaksikan keunggulan pasukan Shahreenian Jumpers sebagai johan kebangsaan lompat tali, kejayaan emas dan perak di Korea Open Rope Skipping Championship, kemenangan besar Faris Qayyum dalam lima kejohanan taekwondo, serta kejuaraan tenis, golf dan skuasy di pelbagai peringkat.

Bidang ko-akademik tidak ketinggalan dengan kemenangan johan Mimbar Daie, syair, seni khat, serta tempat kedua Sayembara Puisi dan pertandingan melukis doodle.

MELAHIRKAN MURID SEIMBANG

“Kejayaan ini membuktikan SMKTLS sebagai sekolah pilihan yang melahirkan murid seimbang dalam akademik, sahsiah, sukan, dan inovasi, sekali gus mengukuhkan reputasi di pentas negeri, negara, dan antarabangsa,” tambah beliau.

Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah turut berkenan menyempurnakan simbolik perasmian majlis, seterusnya mengurniakan anugerah kepada 32 penerima meliputi Anugerah Pencapaian Terbaik SPM 2024, Anugerah Khas Sukan Lompat Tali, Anugerah Pencapaian Cemerlang Bahasa Perancis DELF 2024, Anugerah Khas Kategori Murid, serta Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra 2024.

Selain itu, turut disampaikan anugerah bagi menghargai kecemerlangan dan jasa para pelajar, termasuk Anugerah Peningkatan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) SPM 2024 kepada 19 penerima, serta Anugerah Jasamu Dikenang kepada 3 penerima.

Majlis tersebut turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti persembahan nyanyian, pameran fotografi bertema “Dari Lensa, Untuk Kenangan”, aktiviti Scratch Expert Creativity, Français avec Kahoot (Bahasa Perancis bersama Kahoot) serta persembahan Rocket and Satellite. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *