


PULAU PINANG, 16 Ogos: Naval Engineering Conference (NEC) Edisi Kedua melibatkan tentera laut dari lapan negara ASEAN telah diadakan di lokasi terkenal di negara ini – Pearl of The Orient.
NEC kali ini yang bertemakan “Innovation and Technology Towards Improving Ships Survivability at Sea” telah dirasmikan oleh Ketua Jurutera TLDM, Laksamana Muda Dato’ Ir. Ts. Hj Mohd Shaiful Adli Chung bin Abdullah. Penganjuran persidangan ini adalah seiring dengan pelaksanaan 3rd ASEAN Multilateral Naval Exercise (AMNEX) dan 19th ASEAN Navy Chiefs’ Meeting (ANCM).
Seramai 70 peserta yang terdiri daripada para jurutera dan juruteknik tentera laut negara ASEAN, wakil agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi telah menghadiri persidangan ini. Ianya menjadi platform perkongsian ilmu, khususnya kemajuan teknologi semasa dalam bidang maritim.
Selain persidangan utama, NEC kali ini turut melibatkan pameran produk inovasi oleh tentera laut negara ASEAN, khususnya dalam aspek survival di laut.
Penganjuran NEC ini diyakini telah memberi nilai tambah kepada para peserta mengenai perkembangan teknologi semasa dan keperluan menerapkan inovasi untuk meningkatkan kesiagaan operasi, selain kapal dalam keadaan selamat jika dilanda sesuatu musibah.
Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur dan mereka yang menjayakan NEC tersebut, semoga menjadi inspirasi kepada warga TLDM yang lain.
