

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
19 OGOS 2025
Pengurusan kewangan negara mesti dilaksanakan secara berhemah dan berdisiplin, selaras dengan semangat Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekan demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC), iaitu sebuah platform penting dalam merangka dasar fiskal yang jelas dan menentukan hala tuju ekonomi negara.
“Kerajaan MADANI perlu terus mencari keseimbangan antara usaha mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan, terutama dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu,” kata beliau dalam hantaran di FB.
DUNIA MASIH BERGELUT
Beliau berkata meskipun dunia masih bergelut dengan ketidaktentuan, ekonomi negara kekal kukuh dengan kadar pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama tahun 2025.
Kadar pengangguran juga telah menurun ke paras 3 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh 10 tahun.
Pada masa yang sama, Kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 5.5 peratus pada tahun 2022 kepada 4.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2024, satu pencapaian yang membuktikan komitmen terhadap pengurusan fiskal yang bertanggungjawab. – JM
