PMX akur ramai terbeban dengan kos sara hidup

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
20 OGOS 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akur bahawa dalam keadaan masih ramai yang terbeban dengan kos sara hidup, gejala ini mampu untuk terus membengkak.

Beliau berkata memang benar, ramai dalam kalangan orang Melayu masih hidup dalam kemiskinan.

“Namun, saya juga acapkali mengingatkan bahawa dalam kelompok miskin tegar, ramai datang daripada masyarakat India,” kata beliau dalam hantaran di FB.

Sebab itu juga Perdana Menteri menegaskan betapa besarnya beda antara kumpulan masyarakat yang miskin dan miskin tegar.

ATAS DASAR KAUM

Beliau berkata kerajaan MADANI membantu bukan atas dasar kaum atau pilih kasih, tetapi demi mengangkat martabat warga miskin dan rentan tanpa mengira latar belakang.

“Hasilnya nyata. Bantuan tunai kepada masyarakat India telah meningkat daripada RM578 juta pada 2022 kepada RM972 juta melalui Sumbangan Tunai Rahmah,” kata Anwar pada Majlis Perhimpunan Bulanan Warga Kementerian Kewangan Putrajaya.

Jelas beliau ini merupakan kenaikan sebanyak 68 peratus dalam hanya tiga tahun, ketimbang peningkatan kepada etnik lain sebanyak 39 peratus hingga 60 peratus.

Bagi masyarakat Cina, beliau berkata hampir RM14 bilion atau 75 peratus daripada keseluruhan jaminan di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) telah dimanfaatkan oleh usahawan Cina, termasuk PKS dan syarikat besar.

PuTERA35 TELAH DILUNCURKAN

“Untuk masyarakat Melayu dan Bumiputera pula, dasar khusus seperti PuTERA35 telah diluncurkan bagi meningkatkan penyertaan ekonomi secara bersasar,” tambah beliau.

“Saya cakna bahawa isu-isu seperti ini akan terus menjadi tajuk wacana dalam negara majmuk seperti Malaysia,” tambah beliau.

Namun, kata Perdana Menteri
Kerajaan MADANI memikul tanggungjawab ini dengan iltizam untuk membetulkan masalah asas negara berpaksikan prinsip keadilan dan rahmah untuk semua. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *