Semua berperanan penting jauhkan diri daripada amalan buli – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
21 OGOS 2025

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menasihatkan semua supaya berperanan penting dalam menjauhkan diri daripada amalan buli dalam kehidupan seharian.

Jangan sesekali menjadikan kelemahan orang lain sebagai bahan ejekan atau hiburan, sebaliknya taburkanlah kata-kata semangat yang mampu menyuburkan keyakinan diri mereka.

Dengan menolak budaya buli serta membudayakan sikap hormat dan empati, kita dapat mewujudkan suasana yang penuh keharmonian, selamat, dan sejahtera untuk semua.

MAJLIS SANTAPAN NEGERI

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Negeri bagi Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) kali Ke-65 Tahun 2025 yang dihoskan oleh Kerajaan Negeri di Dewan 2020, Kangar.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda putera Warisnya Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan tiba Duli-Duli Tuanku disambut oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.

DENGAN PENUH MERIAH

Kejohanan Olahraga pada tahun ini telah berlangsung dengan penuh meriah di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra bermula dari 18 hingga 24 Ogos 2025.

Kejohanan ini menghimpunkan lebih 1,440 atlet dan seramai 320 orang pegawai mewakili 16 kontinjen dari seluruh negara, sekaligus menjadikannya antara acara sukan pelajar paling berprestij di Malaysia.

Antara negeri yang mengambil bahagian ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak, Sabah, serta tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, dan tuan rumah Perlis.

TIGA KATEGORI UMUR

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 15 Tahun, dan Bawah 18 Tahun. Menariknya, edisi kali ini turut memperkenalkan acara lari berganti-ganti campuran, yang menggabungkan atlet lelaki dan perempuan dalam satu pasukan.

Inovasi ini bukan sahaja menambah warna pada kejohanan, malah memberikan dimensi baharu dalam penganjuran MSSM.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan pengurniaan cenderamata kepada 16 orang ketua kontinjen serta pengurniaan sijil dan cenderamata sebagai penghargaan kepada para penaja yang telah menjayakan kejohanan pada tahun ini.

Baginda turut menzahirkan agar kejohanan ini bukan sahaja menjadi medan persaingan, tetapi juga wahana untuk mempererat silaturahim, menyemarakkan semangat kesukanan, dan melahirkan bakat-bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri masing-masing dan seterusnya negara yang tercinta, Malaysia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *