




Oleh: Sholina Osman
Foto FB TUDM
22 OGOS 2025
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memutuskan untuk menggantung sementara operasi penerbangan pesawat F/A-18D Hornet sehingga selesai siasatan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata sebuah Lembaga Siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Beliau berkata Lembaga Siasatan itu, akan dianggotai pegawai kanan TUDM dengan pihak berkenaan sudah pun memulakan siasatan hari ini.
“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian dijangka mengambil masa dua minggu,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang hari ini (22 Ogos).
DALAM INSIDEN KEMALANGAN
Pada pukul 9.05 malam tadi, sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan terlibat dalam insiden kemalangan ketika sedang berlepas untuk melaksanakan latihan penerbangan rutin.
Muhamad Norazlan juga mengesahkan bahawa kedua-dua anak kapal pesawat berkenaan berjaya menyelamatkan diri melalui prosedur kecemasan dengan “eject” daripada pesawat sebelum terhempas.
Anak kapal tersebut adalah Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin TUDM, 34 merupakan juruterbang dan Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh TUDM, 28 tahun merupakan jurusensor senjata pesawat.
DALAM KEADAAN STABIL
“Kedua-dua pegawai kini berada dalam keadaan stabil tanpa kecederaan serius. Mereka telah diberi rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan telah discaj pada jam 2.00 pagi tadi.
Kini mereka sedang ditempatkan sementara di 815 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Kuantan,” ujar beliau.
Panglima Tentera Udara turut turun padang pagi ini bagi meninjau sendiri lokasi kejadian serta melawat kedua-dua pegawai yang terlibat serta keluarga.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada Mejar Mohamad Azhar TUDM dan Kapten Mohamad Izzuddin TUDM. – JM
