






Oleh: Sholina Osman
23 OGOS 2025
Masjid Sirajuddin yang diambil
sempena nama Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang terletak di Kampung Padang Pauh dekat Kangar bakal dinaikkan taraf mulai 27 Ogos ini.
Projek menaik taraf masjid yang berusia 55 tahun ini bagi memberikan keselesaan jemaah dan memperkukuh fungsinya sebagai pusat ibadah, pendidikan serta kegiatan kemasyarakatan.
Projek tersebut yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis (ICU) dijadualkan siap pada 11 Februari 2026.
Raja Perlis telah berkenan berangkat ke masjid berkenaan menunaikan Solat Jumaat terakhir sebelum ia ditutup untuk memulakan kerja-kerja.
TAKLIMAT MENGENAI PROJEK
Baginda turut berkenan dipersembah taklimat mengenai projek tersebut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Projek naik taraf ini bukan sahaja memperbaiki struktur bangunan dan kemudahan sedia ada, malah mampu mengangkat martabat masjid sebagai pusat tumpuan masyarakat Islam di sekitar Kampung Padang Pauh dan kawasan sekitarnya.
Sebagai latar, Masjid Sirajuddin yang terletak di Kilometer 4, Jalan Kaki Bukit, Kangar ini direkodkan telah dibina pada 1 Januari 1970.
Sejak awal penubuhannya, masjid ini menjadi antara masjid utama di daerah Kangar serta berperanan penting sebagai pusat pengajian al-Quran, pendidikan agama dan perhimpunan umat Perlis setempat.
PROGRAM HIJRAH MINDA
Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Program Hijrah Minda anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang berlangsung di masjid tersebut.
Mengiringi keberangkatan Baginda ialah anakanda putera, Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Sempena program berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyampaikan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada 30 orang asnaf terpilih bagi edisi kali ini.
Selain itu, para asnaf yang hadir juga mengikuti ceramah motivasi daripada pihak MAIPs bertajuk “Bangun Jiwa Asnaf”. – JM
