






Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memgumumkan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM).
Beliau berkata, dana ini akan disalurkan terus kepada gabungan ini bagi memastikan kelangsungan operasi, program, dan aktiviti persatuan tanpa gangguan sementara menunggu pembentangan Belanjawan akan datang.
“Peniaga kecil adalah nadi ekonomi rakyat dan Insya-Allah Kerajaan MADANI akan terus membela dan memperkukuh kedudukan mereka demi masa depan yang lebih baik,” kata beliau dalam hantaran di FB.
Terdahulu Perdana Menteri berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 GPPKMM.
ARUS PEMBANGUNAN NEGARA
“Saya tegaskan bahawa dalam arus pembangunan negara, prasarana gerai, warung dan restoran rakyat tidak boleh diketepikan,” kata beliau.
Beliau berkata kemudahan asas seperti kebersihan dan infrastruktur perlu sentiasa dipertingkat agar kekal relevan dan menjadi pilihan utama pengguna.
Dalam ucapan beliau, Anwar menjelaskan peniaga Melayu ini memang betul dianggap sebagai golongan yang kecil.
Bagaimanapun sumbangan golongan ini kepada rakyat, termasuk warga Kuala Lumpur, umumnya adalah besar.
RAKYAT DI KOTA
“Bandingkan berapa peratus rakyat di kota Kuala Lumpur, Ipoh, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Johor Bahru, Kuching, Kota Kinabalu seumpamanya, yang pergi ke gerai dan warung dan restoran kecil berbanding hotel lima bintang,” kata beliau.
Jelas beliau, lebih 80 peratus rakyat ke gerai, restoran yang kecil mana bagaimana mungkin dasar negara mengenepikan keadaannya yang daif, bocor, tidak ada bekalan air dan kemudahan asas.
“Maknanya kita beri perhatian kepada 80 peratus ini berbanding hotel 5 bintang kerana mereka mampu,” tambah beliau. – JM
