





Oleh: Sholina Osman
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 OGOS 2025
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahukan kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital ini sebagai wahana bagi meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkata, jangan apabila sudah belanja tinggi untuk AI dan transformasi digital, tetapi produktiviti tidak meningkat, khidmat kepada rakyat tidak bertambah.
“Kalau Malaysia ini mahu diangkat martabatnya sebagai negara maju ke depan, kita mesti menguasai disiplin dan ilmu baru, kita tiada pilihan,” kata Perdana Menteri semasa berucap merasmikan Program Madani Rakyat 2025 Negeri Sembilan bertemakan ‘Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti’ di Dataran Nilai, Nilai, Negeri Sembilan hari ini (23 Ogos).
PENGUASAAN TEKNOLOGI BAHARU
Anwar berkata penguasaan teknologi baharu, AI umpamanya, pertamanya bukan mudah, bukan murah, dan ada risikonya.
“Kerana kalau kita hanya ciplak, ambil sahaja apa yang dilontarkan oleh orang asing, Amerika, atau Eropah atau China, kita tidak akan dapat pertahankan akidah, akhlak, nilai, budaya kita,” tambah beliau.
Jadi sementara kita ambil, kata Perdana Menteri maka kita harus latih anak-anak kita faham apa dia digital, faham apa dia AI, dan kemudian mampu menghasilkan prakarsa yang sesuai dengan pemikiran kita.
“Kita boleh ambil dari semua negara, tapi kita pertahankan nilai dan budaya kita. Ini yang disebut latihan, talent baharu, penguasaan teknologi baru,” tambah beliau. – JM
