Mildef International Technologies di Sendayan satu lagi mercu tanda industri pertahanan negara – PMX

Wartawan JM
Foto Ihsan Pejabat Perdana Menteri (PMO)
23 OGOS 2025

Mildef International Technologies di Sendayan merupakan satu lagi mercu tanda dalam industri pertahanan negara (military industrial complex).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia antaranya menjadi lambang inovasi dan kepakaran tempatan, selain menjadi simbol kedaulatan yang mengakar pada maruah bangsa.

“Malaysia tidak seharusnya secara berterusan bergantung pada perolehan dari luar, tetapi sebaliknya mesti membina kekuatan dalam negeri dengan prinsip tatakelola yang telus, kecanggihan teknologi dan penyelidikan yang berpaksi pada kekuatan jati diri bangsa,” kata beliau dalam hantaran di FB.

KILANG KENDERAAN PERISAI

Terdahulu Anwar berucap ketika merasmikan kilang kenderaan perisai Mildef International Technologies di Sendayan Techvalley, Negeri Sembilan.

“Bersempena bulan kemerdekaan ini, kita terus-terusan diperingatkan bahawa keamanan tidak hadir dengan sendirinya,” kata beliau.

Malah, kata Perdana Menteri ia ditegakkan dengan pengorbanan para perwira dan perajurit bangsa, dengan disiplin yang teguh, dan dengan kepemimpinan yang menolak segala bentuk penyimpangan mahupun yang diam terhadap kecurangan.

AMANAH DALAM MENJAGA

Tambah beliau aspek pertahanan adalah amanah dalam menjaga dan melindungi maruah negara, memelihara Selat Melaka dan Laut China Selatan, serta mempertahankan keamanan rantau ini bersama sahabat-sahabat serantau.

“Justeru, saya tekankan bahawa kekuatan industri pertahanan tempatan harus berpadu dengan kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Beliau berkata bila bumbung ekonomi negara makin tinggi, lantainya juga mesti terangkat supaya pekerja dan keluarga turut menikmati hasilnya.

“Ini semangat yang madani, yakni pertahanan yang kukuh, ekonomi yang makmur, rakyat yang sejahtera, dan negara yang terus dihormati dunia,” tambah beliau. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *